Ulasan iPad Baharu – Berbaloikah Untuk Dimiliki ?

Ulasan iPad Baharu – Berbaloikah Untuk Dimiliki ?

Diterbitkan pada Apr 7, 2012 oleh .

Hari ini genap seminggu saya menggunakan iPad Baharu yang dibeli melalui rakan di Hong Kong. iPad Baharu yang dibeli merupakan model 16GB WiFi dan turut memuatkan iOS 5.1  iPad Baharu ini juga merupakan iPad generasi ketiga dan secara tidak langsung peranti iPad sudah berusia tiga tahun sejak ia diperkenalkan pada tahun 2010.

Ini merupakan iPad kedua saya selepas iPad 1 yang dibeli pada tahun lepas. Sebenarnya saya ingin membeli iPad 2 tahun lepas apabila ia diumumkan tetapi apabila melihat spesifikasinya yang hanya menggunakan kamera berkualiti rendah, saya batalkan rancangan saya dan membeli iPad 1. Apabila iPad Baharu diumumkan yang akan membawakan kamera dengan cip pengimejan sebesar 5Megapixel, saya terus terasa mahu membelinya.

Persoalannya, adakah ia berbaloi untuk dimiliki memandangkan sekarang terdapat banyak pilihan tablet di pasaran? Itu yang saya akan ulas hari ini dan mari kita lihat spesifikasi iPad Baharu.

iPad Baharu menampilkan pemproses dwi-teras Cortex A9X 1GHz yang juga dipasang dengan chipset yang dikenali sebagai A5X. Chipset ini menjanakan kuasa grafik empat teras. Skrin 9.7 inci yang digunakan sama seperti model terdahulu tetapi membawakan sokongan paparan Retina, yang menaikkan resolusi pixel mereka sebanyak 2048 x 1536. Kapasiti memori RAM juga ditambah menjadi 1GB. Dengan pemproses yang lebih laju, iPad Baharu ini masih mampu beroperasi pada tempoh yang sama dengan model terdahulu cuma ketebalan bateri ditambah sedikit tetapi tidak signifikan.

Untuk teknologi pengimejan iPad Baharu, Apple memuatkan kamera iSight, dengan sensor sebesar 5-Megapiksel dan sokongan memfokus secara automatik. Juga terdapat peredam gegaran (stabilization) untuk membantu pengguna menangkap gambar dan merakam video tanpa gegaran. Video yang dirakam pula mempunyai standard 1080p dan dirakam pada kelajuan 30FPS.

Walaupun baterinya sedikit tebal dan menyumbang kepada penambahan berat, ianya bukan satu perbezaan yang signifikan.

Retina Display: Besarkah bezanya dengan iPad terdahulu?

Saya menggunakan iPad 1 dan kadangkala juga menggunakan iPad 2 kepunyaan orang lain. Perbezaanya amat ketara pada iPad Baharu dengan paparan Retina Display. Tulisan lebih tajam dan tidak mempunyai sebarang pixel yang boleh dilihat. Ini adalah kerana Apple telah memadatkan skrin mereka sebanyak 264PPI (Pixel Per Inch), iaitu dua kali ganda dari model sebelum ini. Sekiranya anda mempunyai iPhone 4/4S, kualiti paparan ini adalah setara dengan paparan peranti tersebut.

Walaubagaimanapun, dengan fungsi paparan Retina Display pada iPad Baharu ini memaksa para pembangun aplikasi dan penerbitan khusus untuk iPad untuk menaikkan saiz fail mereka. Sekiranya mereka tidak menaikkan kapasiti imej mereka (dari segi PPI), imej mereka kurang menyerlah dan kemungkinan terdapat kekaburan pada imej mereka.

Kamera iSight 5 MegaPixel: Adakah ia bagus seperti yang dikatakan ?

Memang tidak dinafikan, kamera iPad Baharu adalah lebih berkuasa dari iPad 2. Mampu merakam pada resolusi 1080p dan 30FPS termasuk dengan fungsi peredam gegaran, kamera ini merupakan kemaskini yang ditunggu. Apa yang dikesalkan adalah mengapa Apple tidak memasukkan kamera sebegini pada iPad 2 yang akan menambah nilai pada model tersebut?

Keupayaan rakaman video 1080p telah dipertunjukkan oleh kami pada berita Google Zeitgeist minggu lepas. Walaubagaimanapun, seperti beberapa peranti yang lain, ia turut mengandungi sedikit “noise” padanya. Kamera iSight ini nampaknya mampu merakam gambar dan video dalam suasana yang kurang pencahayaan.

Contoh Rakaman Video Menggunakan iPad Baharu

Contoh Rakaman Gambar Menggunakan iPad Baharu

Selain dari fungsi yang telah dinyatakan, kamera iPad Baharu ini juga mampu merakam gambar HDR (High Dynamic Range) dan disertakan dengan pengesan muka. Oleh kerana iPad adalah peranti Apple, anda tidak boleh menukar setting rakaman dan pendedahan cahaya. Saya cuba untuk menukar dari 1080p kepada 720p tetapi tiada pilihan tersebut.

iPad Baharu Cepat Panas?

Buat pertama kalinya saya merasakan ada sedikit kehangatan semasa memegang iPad Baharu. Berbanding dengan peranti mudah-alih keluaran Apple yang lain, iPad Baharu ini sememangnya hangat walau tika melayari internet dan melakukan kerja kerja biasa. Hal ini berkemungkinan disebabkan oleh cip yang lebih laju dan paparan yang sangat padat. Walaubagaimanapun, tidak diketahui sama ada adakah ianya boleh diselesaikan dengan kemaskini iOS ataupun tidak.

ULASAN RINGKAS

PRO

  1. Retina Display membawa pengalaman baru dalam paparan tablet dari Apple.
  2. Kamera yang agak berkebolehan baik untuk video dan gambar kecuali untuk keadaan yang agak gelap.
  3. Berfungsi lebih pantas dari model terdahulu.

KONTRA

  1. Banyak aplikasi masih tidak menggunakan Retina Display.
  2. Disebabkan Retina Display, saiz fail bertambah dan kapasiti 16GB senang dipenuhi didalam masa singkat.
  3. Kamera tanpa kawalan untuk mengubah resolusi 1080p ketika rakaman.
  4. Lebih berat dan sedikit tebal walaupun kedua-duanya tidak dapat dirasakan secara kasarnya.
  5. Cepat menjadi panas (hangat) walaupun digunakan hanya untuk seketika.

Kesimpulan

Sekiranya anda tidak mempunyai sebarang tablet dan berminat untuk memiliki iPad, saya syorkan iPad ini. iPad 2 pun boleh dibeli tetapi kameranya mempunyai resolusi yang rendah dan tidak berbaloi. Sekiranya anda ingin merakam banyak gambar dan video, maka iPad baharu edisi 32 GB lebih sesuai buat anda.


TIPS & ULASAN