Sejak daripada Larry Page mengambil-alih tugas sebagai CEO, telah setahun berlalu, dimana Google terus muncul dengan idea-idea menarik dan gila-gila mereka. Sepanjang tahun lepas, Google+ telah menjadi salah satu perkara yang mendapat antara perhatian ramai, selain platform dan perisian mereka, Chrome dan juga Android yang terus berkembang dari hari ke hari.
Melalui kemaskini yang dikeluarkan hari ini oleh Larry Page, ia memperlihatkan yang mana kini Google+ mempunyai lebih daripada 100 juta pengguna aktif, dengan lebih 120 produk Google yang telah diintegrasikan bersama-sama dengan Google+. Fokus Google kepada rangkaian sosial Google+ juga memberikan kesan kepada produk-produk yang lain, dimana sepanjang tahun lepas sebanyak 30 produk Google telah dimatikan.
Android pula terus berkembang dari hari ke hari, dimana sebanyak 850,000 peranti diaktifkan hampir setiap hari, dengan jumlah aplikasi yang dibangunkan untuknya terus berkembang, dan kedudukan pasarannya yang amat meluas. Pelayar web Chrome turut tidak ketinggalan, memperlihatkan lebih daripada 200 juta. Perkhidmatan emel mereka juga turut berkembang, dengan mempunyai hampir 350 juta pengguna seluruh dunia.
Di Malaysia sahaja, Google Malaysia turut memfokuskan dalam memperkenalkan beberapa produk dengan sokongan tempatan, termasuk Google Maps Malaysia yang ditambah dengan pelbagai sokongan masa-nyata, seperti trafik dan sebagainya, disamping baru-baru ini telah melancarkan YouTube Malaysia. Sokongan StreetView juga dijangka akan diperkenalkan tidak lama lagi.
Dan sepanjang tahun ini, Google terus akan memfokuskan beberapa produk baru mereka, termasuk Project Glasses dan juga Google Drive, yang mana kedua-duanya dinantikan ramai, dan masih lagi pada peringkat pembangunan awal lagi buat masa ini.