Cari @ Amanz

Spesifikasi Awal Untuk NVIDIA Tegra 4 Mula Kelihatan – Disasarkan Untuk Tahun 2013

Oleh Aman

Link Copied!

Disebalik perang untuk peranti mudah-alih iaitu telefon pintar dan juga tablet, ia turut sama melibatkan pengeluar cip pemprosesa, skrin dan sebagainya. Kini, walaupun peranti yang menggunakan Tegra 3 masih kurang lagi, perancangan untuk cip pemprosesan Tegra 4 daripada NVIDIA telah pun kelihatan, dan disasarkan untuk pelancaran pada 2013 kelak.

Dari segi penamaan, ia akan menggunakan nama kod Wayne. Sebelum ini, Tegra 3 menggunakan nama kod Kal-El bersempena dengan nama Superman, dan nampaknya untuk Tegra 4 kelak, ia akan dinamakan berdasarkan kepada Batman. Untuk makluman, pihak NVIDIA dilihat menamakan cip pemprosesan mereka berdasarkan kepada nama superhero yang popular dikalangan pengguna seluruh dunia.

Dari segi prestasi pula, melalui apa yang kelihatan, ia akan membawakan prestasi sebanyak 10 kali ganda berbanding dengan Tegra 2. Melalui dokumen yang diperlihatkan, ia turut menunjukkan yang mana sebanyak 4 variasi model Tegra 4 akan dikeluarkan, dimana ia akan membawakan konsep teras 4+1, dimana empat teras seperti Tegra 3 dan disertakan sokongan untuk penggunaan tenaga operasi yang rendah.

Kuasa pemprosesan yang bakal dibawakan melalui Tegra 4 kelak adalah sehingga 1.8GHz pada suku tahun pertama yang memfokuskan tablet bersaiz 10-inci, dan akan dikemaskini kepada sehingga 2.0GHz menjelang suku tahun ketiga tahun hadapan. Pada masa yang sama, selain daripada cip yang berkonsepkan kepada ARM Cortex-15, mereka juga mensasarkan untuk mengeluarkan cip berasaskan Cortex-A9 dengan kuasa sehingga 2.0Ghz memfokuskan kepada peranti bersaiz 7-inci, dan didatangkan dengan sokongan LTE padanya.

Walaubagaimanapun, perkara ini masih lagi tidak disahkan oleh pihak NVIDIA buat masa ini. Namun, mungkin kita akan dapat mendengar sesuatu daripada pihak NVIDIA berkenaan dengannya menjelang Computex pada pertengahan tahun ini kelak.


Komen ()