TaxiMonger merupakan salah satu aplikasi yang dihasilkan melalui acara HackWeekend, dan telah berevolusi sejak daripadanya. Terkini, mereka telah pun melancarkan aplikasi Android untuk TaxiMonger, membolehkan para pengguna bukan sahaja menghantar ulasan melalui aplikasi tersebut, tetapi pada masa yang sama turut melakukan tempahan teksi melalui aplikasi, sama seperti aplikasi MyTeksi.
Untuk membuat tempahan sebarang teksi, para pelanggan terlebih dahulu perlu mendaftarkan akaun mereka bersama laman TaxiMonger, dan menambah kredit pada akaun mereka. Sebagai pengenalan, setiap pendaftaran akaun baru menerima RM10 terus pada akaun mereka untuk tujuan menempah teksi. Setiap teksi yang ditempah akan dikenakan caj sebanyak RM3 sehingga RM6 bergantung kepada teksi yang ditempah. Namun, sokongan menambah kredit seperti masih lagi tidak berfungsi buat masa ini.
Melalui ujian yang dilakukan kami, sokongan membuat tempahan juga seperti tidak berfungsi. Mungkin masalah terhadap aplikasi, yang mana masih tidak dioptimasikan untuk semua peranti Android.
Penerangan yang disediakan juga seperti masih tidak memadai, dan masih ramai yang tidak ketahui bagaimanakah untuk menambah kredit, dan sebagainya. Mungkin pihak TaxiMonger perlu mengambil perhatian untuknya.
Walaubagaimanapun, bagi anda pengguna Android, mungkin boleh memuat-turun aplikasi Taxi Monger hari ini melalui Google Play Store. Aplikasi iOS dijangka akan diperkenalkan dalam masa terdekat.