Tempahan Makanan Melalui Internet Semakin Mendapat Perhatian Di Malaysia

Tempahan Makanan Melalui Internet Semakin Mendapat Perhatian Di Malaysia

Diterbitkan pada Apr 9, 2012 oleh .

Nampaknya, sepanjang bulan ini, salah satu jenis perkhidmatan yang akan popular di arena internet tempatan adalah yang berkaitan dengan jual-beli makanan. Pada penghujung bulan lepas, Rocket Internet telah melancarkan FoodPanda Malaysia, dan kini, beberapa syarikat turut mensasarkan untuk menawarkan perkhidmatan sama.

MyDeal Melancarkan Dealivery

Dengan konsep yang menyerupai seakan-akan FoodPanda adalah perkhidmatan daripada laman tawaran harian terkemuka di Malaysia, iaitu MyDeals. Baru-baru ini, mereka turut telah menambah perkhidmatan memfokuskan kepada penghantaran makanan ke rumah apabila para pengguna membuat tempahan secara atas-talian.

Namun, ia masih memfokuskan kepada para pengguna di Lembah Klang. Melalui laman Dealivery, ia membolehkan para pengguna melihat apakah makanan yang disediakan, disamping mensasarkan masa yang akan diambil untuk urusan penghantaran ke kawasan rumah anda.

YummyKitchen Bakal Memulakan Perkhidmatan

YummyKitchen merupakan salah satu perkhidmatan yang kelihatan seperti mendapat sokongan daripada EpiWeb, salah satu inkubator tempatan yang turut mendukung beberapa projek seperti TaxiMonger, SecQ.ME dan sebagainya. Ia masih lagi tidak diketahui bilakah YummyKitchen ini akan beroperasi.

Melalui laman Twitter milik YummyKitchen, ia memperlihatkan yang mana melalui perkhidmatan ini, ia akan membolehkan para pengguna atau mereka yang gemar masak di rumah untuk menggunakan perkhidmatan mereka dalam menghantar makanan yang dimasak mereka kepada yang lain, sekaligus membolehkan mereka menjana wang tambahan daripadanya. Buat masa ini, mereka masih dalam proses menambah portfolio tukang masak dibawah perkhidmatan mereka, dan masih tidak diketahui bilakah akan dilancarkan secara rasminya.

Lain-Lain Perkhidmatan…

Selain daripadanya, beberapa perkhidmatan yang lain turut memfokuskan kepada makanan, seperti FoodDirector yang membolehkan anda menemui tempat makan dengan mudah, lebih kurang sama seperti Restoran Near Me.

Beberapa perkhidmatan sedia ada juga memberi nilai tambahan kepada pencinta makanan dan mereka yang ingin menikmati makanan dengan mudah. Salah satunya adalah TableFour.US yang membolehkan para pengguna membuat tempahan meja makan di restoran sekitar Lembah Klang dengan mudah. TIdak ketinggalan juga perkhidmatan Malaysia Most Wanted yang menawarkan kemudahan untuk anda melihat tempat makanan yang menarik disekitar Malaysia, dan menentukan ke mana anda harus pergi untuk menikmati makanan yang sedap dan menarik.

Dengan perkembangan aplikasi berasaskan web dan telefon pintar ini dari hari ke hari, mungkin industri makanan melalui web dan internet ini akan mendapat perhatian ramai pengguna tempatan mahupun antarabangsa. Apatah lagi, Malaysia turut dikenali sebagai tempat percutian dengan pilihan makanan yang amat menarik sekali dikalangan pelancong antarabangsa.


TIPS & ULASAN