Cari @ Amanz

Terdapat pelbagai laman dan perkhidmatan yang menyediakan sokongan untuk membuat panggilan video dengan tujuan untuk mesyuarat dan sebagainya, seperti Skype, Google+ Hangout dan lain-lain. Namun, mungkin ada antara rakan sekerja anda yang tidak mempunyai akaun untuknya, dan memerlukan pemasangan aplikasi tambahan. Untuk mengatasi perkara ini, salah satu aplikasi berasaskan web diperkenalkan, dinamakan sebagai Meetings.io.

Melalui Meetings.io, ia membolehkan anda membuat mesyuarat secara maya, melalui sokongan webcam bersama-sama dengan rakan anda yang lain dengan mudah dan pantas. Ia juga tidak memerlukan anda mendaftar ataupun memasang sebarang aplikasi tambahan dan sebagainya. Walaubagaimanapun, dengan mendaftarkan diri pada laman tersebut, anda mendapat akses kepada beberapa fungsi tambahan yang amat berguna.

Untuk mula menggunakannya, para pengguna hanya perlu klik pada “Get A Meeting Room” dan seterusnya sebuah pautan khas akan dicipta untuk anda, untuk dikongsikan bersama rakan sekerja anda yang lain. Ia kemudian akan meminta akses untuk webcam anda, untuk mengaktifkan panggilan video melaluinya.

Antara perkara menarik yang kami dapati pada perkhidmatan ini adalah sokongan untuk mengambil nota tambahan ketika mesyuarat tersebut, melalui aplikasi terbina, disamping boleh bersembang dengan rakan-rakan anda yang lain melalui fungsi chat padanya.

Melalui ujian yang kami lakukan, ia beroperasi tanpa sebarang masalah, dan bergerak lancar walaupun pada sambungan internet yang sederhana. Untuk para pengguna yang berdaftar dengan laman tersebut pula, anda boleh menikmati beberapa fungsi tambahan seperti laporan mesyuarat, URL yang dikhaskan untuk anda, dan menguruskan pelbagai mesyuarat dengan mudah melaluinya.

Bagi anda yang berminat, mungkin boleh mencuba Meetings.io hari ini, dan mula bermesyuarat melalui webcam tanpa sebarang masalah bersama rakan-rakan anda yang lain.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd