Sebagai salah satu kempen pemasaran Windows Phone, Microsoft telah mengadakan sebuah kempen yang dinamakan sebagai Smoked by Windows Phone. Setelah melaksanakan kempen tersebut pada beberapa negara sebelum ini, dan akhirnya, kini ia turut bakal diadakan di Malaysia dari sekarang sehingga ke penghujung Mei kelak.
Bagi yang tidak mengenali akan kempen Smoked By Windows Phone ini, ia merupakan salah satu kempen daripada Microsoft untuk memperlihatkan kehebatan peranti Windows Phone mereka. Secara ringkasnya, ketika promosi tersebut dilakukan, mereka akan mencabar para hadirin untuk menggunakan telefon pintar mereka, dan melakukan perkara sama dengan Windows Phone, dan sekiranya mereka berjaya menewaskan peranti Windows Phone, dengan melakukannya dengan lebih pantas, maka Microsoft akan memberikan RM100 kepada pemenang tersebut.
Cabaran ini telah dilakukan sekitar Bukit Bintang, Pavillion, Subang Jaya dan beberapa lokasi di Lembah Klang akhir-akhir ini, dan mereka juga akan mengadakan cabaran tersebut pada PC Fair yang bakal diadakan pada penghujung minggu ini kelak di Kuala Lumpur Convention Center.
Walaubagaimanapun, setiap cabaran adalah ditetapkan oleh pihak Microsoft sendiri, dan semestinya mereka telah memastikan peranti mereka yang akan menang untuk cabaran tersebut. Sebelum ini, melalui beberapa kempen serupa yang dilakukan oleh Microsoft, peranti Windows Phone telah tewas untuk beberapa peranti yang lain. Namun, ia bukanlah sesuatu yang besar, memandangkan impak pemasaran mereka melaluinya adalah lebih meluas.