Komputer Riba Dan Desktop Dengan Paparan Retina Menjelang 2013?

Komputer Riba Dan Desktop Dengan Paparan Retina Menjelang 2013?

Diterbitkan pada Apr 13, 2012 oleh .

Dengan tablet dan telefon pintar seperti Xperia S, iPad dan lain-lain yang mula menerima skrin resolusi tinggi, kini Intel mula mensasarkan yang mana komputer riba turut sama akan mula menggunakan paparan dan skrin resolusi tinggi dari segi ketumpatan pixel dan sebagainya bermula daripada tahun hadapan. Perkara sama juga dijangka akan mula diperkenalkan pada monitor untuk desktop pada tempoh yang lebih kurang sama.

Intel mensasarkan yang berkemungkinan para pengguna akan dapat melihat ultrabook dengan sokongan paparan beresolusi tinggi bermula tahun hadapan, bermula dari saiz sekecil 11-inci sehingga ke monitor desktop 21-inci. Namun, perlaksanaannya mungkin berbeza dengan apa yang diperkenalkan pada peranti mudah-alih. Perkara ini adalah kerana pada peranti mudah-alih seperti tablet mahupun telefon pintar, para pengguna menggunakannya dengan meletakkannya rapat dengan muka, manakala untuk desktop dan juga komputer riba, kedudukannya adalah berjauhan sedikit.

Dengan Microsoft sebelum ini mengatakan Windows 8 yang bakal membawakan sokongan sedemikian, mungkin perlaksanaannya pada komputer riba mahupun desktop mungkin tidak sukar. Apatah lagi, memandangkan Microsoft sendiri bakal menawarkan sistem operasi yang dioptimasikan untuk skrin sentuh, mungkin kita akan dapat melihat komputer riba dengan sokongan skrin sentuh, mahupun skrin yang boleh ditanggalkan tidak lama lagi.

Ia juga diperkatakan yang mana Ivy Bridge boleh menyokong paparan sedemikian. Jadi, dengan sokongan yang disediakan daripada sistem operasi, dan juga pembangun cip pemprosesan dengan sokongan grafik, perlaksanaannya mungkin tidak jauh lagi.


TIPS & ULASAN