Dengan teknologi HTML5 yang kini diintegrasikan pada hampir kesemua pelayar web terkini, setiap pembangun mula mempromosikan HTML5 melalui pelbagai perkara. Jikalau sebelum ini permainan berasaskan pelayar web seperti Browser Quest, dan Bored To Death dilancarkan, kini Microsoft turut memperkenalkan Brandon Generator, salah satu siri animasi berasaskan HTML5.
Brandon Generator telah dilukis dan dikarang oleh Edgar Wright dan Tommy Lee, yang mana masing-masing terkenal untuk Scott Pilgrim vs The World dan juga Batman.
Melalui komik animasi HTML5 daripada Microsoft itu, ia menggunakan JavaScript secara menyeluruh, membolehkannya dijalankan pada pelbagai peranti tanpa sebarang masalah. Ia juga merupakan sebahagian daripada promosi pihak Microsoft untuk pelayar web Internet Explorer 9 mereka yang didatangkan dengan sokongan HTML5.
Brandon Generator ini dibahagikan kepada beberapa episod, dimana episod pertama sudah pun boleh dilihat hari ini, dan berdasarkan kepada input daripada pembaca, episod kedua dan seterusnya akan diperkenalkan dalam masa beberapa minggu lagi.
Jadi, bagi anda yang berminat dengan komik dan animasi, mungkin boleh melayari laman Brandon Generator hari ini.