Intel Sedang Membangunkan Sokongan Pengecasan Tanpa Wayar Pada Ultrabook

Intel Sedang Membangunkan Sokongan Pengecasan Tanpa Wayar Pada Ultrabook

Diterbitkan pada Apr 16, 2012 oleh .

Nampaknya keluarga Ultrabook daripada Intel bakal menerima pelbagai teknologi baru dan sokongan fungsi menarik dari semasa ke semasa dalam tahun-tahun akan datang. Selain dikatakan akan membawakan sokongan masa bertahan bateri lebih lama, disamping skrin beresolusi tinggi, Intel juga sedang membangunkan teknologi pengecasan tanpa-wayar yang diintegrasikan bersama pada Ultrabook.

Melalui sokongan ini, ia bakal memudahkan anda mengecas sebarang peralatan elektronik anda dengan hanya meletakkan bersebelahan dengan ultrabook anda, tanpa perlu menyambungkannya menggunakan wayar USB dan sebagainya. Ini bakal menjadikan ultrabook dengan teknologi Intel itu sebagai sumber untuk pengecasan, dan mengecas pelbagai peranti berdekatan dengannya, seperti pemain media, telefon pintar, tablet, mahupun peralatan tambahan komputer seperti tetikus dan juga papan kekunci.

Mungkin ia akan menjadi kurang efisyen ataupun tidak mengecas dengan pantas seperti penggunaan kabel, namun ia mempunyai masa depan yang cerah, memandangkan kebanyakkan perkara disambung menggunakan tanpa wayar pada hari ini, seperti papan kekunci dan juga tetikus, dan memerlukan bateri tambahan padanya untuk berfungsi. Dengan sokongan seumpama ini, ia akan memudahkan anda mengecas, apatah lagi, kebiasaannya, ketika melakukan kerja, peralatan seperti telefon pintar dan pemain media diletakkan bersebelahan dengan komputer.

Walaubagaimanapun, ia mungkin masih pada peringkat awal lagi, dan melalui gambaran yang diberikan, ia bukan sahaja menyokong ultrabook, malah akan diperkenalkan pada pelbagai peralatan elektrik lagi.

TIPS & ULASAN