Ketahui Kitar Hayat Bateri Komputer melalui BatteryCare

Ketahui Kitar Hayat Bateri Komputer melalui BatteryCare

Diterbitkan pada Apr 17, 2012 oleh .

Bateri merupakan antara komponen penting pengguna komputer riba khususnya bagi mereka yang kerap melakukan tugas atau melayari Internet ketika berada diluar rumah atau tempat yang tidak mempunyai soket elektrik. Namun, seperti komponen komputer yang lain, bateri turut mempunyai penyusutan dalam tempoh hayatnya dan amat jarang sekali prestasi bateri kekal maksimum terutama bila telah digunakan dalam jangka masa yang lama.

Antara tips yang biasa didengar untuk memanjangkan tempoh hayat bateri adalah dengan mengeluarkan bateri dari slot komputer riba apabila komputer disambungkan kepada soket elektrik. Namun, tanpa mengetahui maklumat seperti tempoh hayat dan kapasiti bateri, tindakan ini dikhuatiri akan mendatangkan kesan lain pada komponen komputer riba.

Kini, dengan menggunakan perisian BatteryCare, anda boleh mengetahui tempoh hayat serta maklumat tenaga, rekod penggunaan, dan melakukan kaliberasi bateri.

Melalui BatteryCare, perisian tersebut membawakan maklumat penggunaan, jumlah tenaga, kapasiti dan tahap penggunaan. Dari aspek kaliberasi, BatteryCare turut mencatatkan rekod kaliberasi tarikh dan jumlah kaliberasi yang dilakukan.

BatteryCare yang ditawarkan secara percuma kepada pengguna Windows ini turut dioptimasikan agar berfungsi mengikut pelan kuasa yang ditetapkan oleh Windows seperti Balanced atau High Performance dan sokongan kepada pelan kuasa yang direka oleh pengguna.

Menariknya, BatteryCare turut didatangkan dengan fungsi termometer maya yang memaparkan suhu komponen komputer seperti cakera keras dan CPU dengan baik sekali.

Bagi anda yang ingin lebih kawalan dan maklumat mengenai hayat bateri komputer riba, anda mungkin boleh mencuba perisian ini dengan memuat turun BatteryCare hari ini.


TIPS & ULASAN