Sony SmartWatch Ditawarkan Pada Harga RM399 Melalui Groupon Malaysia

Sony SmartWatch Ditawarkan Pada Harga RM399 Melalui Groupon Malaysia

Diterbitkan pada Apr 18, 2012 oleh .

Sony SmartWatch adalah salah satu jam tangan yang dijana menggunakan Android, dan membawakan sokongan untuk diintegrasikan bersama-sama dengan telefon pintar anda melalui sokongan Bluetooth. Walaupun ia mungkin mengambil sedikit masa sebelum dilancarkan secara rasmi di Malaysia, kini Groupon Malaysia mengambil peluang awal, dengan membawanya masuk ke Malaysia, dan menawarkannya pada harga RM399.

Ia ditawarkan pada harga asal tanpa sebarang diskaun daripada pihak Groupon Malaysia, berbeza dengan tawaran mereka yang lain. Ini adalah kerana Sony SmartWatch ini dilancarkan secara eksklusif oleh mereka, dan jam tangan pintar ini hanya dilancarkan di Amerika Syarikat pada bulan ini.

Jam tangan pintar ini membawakan skrin seluas 1.3-inci dan dijana menggunakan Android 2.1 padanya. Dari segi penggunaan bateri, ia tahan selama 1 minggu. Ia berhubung dengan peranti lain melalui sokongan Bluetooth 3.0, yang menyokong sejarak 10 meter padanya. Melalui jam tangan pintar ini, para pengguna boleh mengawal pemain muzik, membaca SMS, emel, dan melihat siapa yang membuat panggilan. Pada masa yang sama, ia juga didatangkan dengan sokongan Facebook dan Twitter padanya.

Bagi anda yang berminat, boleh mendapatkannya melalui Groupon Malaysia pada harga RM399, dan penghantarannya akan dimulakan pada awal Mei kelak.


TIPS & ULASAN