Dengan dunia telefon pintar dan tablet yang semakin meningkat dengan drastik, nampaknya Intel tidak mahu ketinggalan sama, dan ketika mengumumkan pendapatan suku tahun pertama, Intel turut mengatakan yang mana telefon pintar pertama yang berasaskan Intel bakal dilancarkan pada minggu ini.
Buat masa ini, masih tidak diketahui telefon pintar apakah yang bakal diperkenalkan oleh Intel bersama-sama dengan rakan kerjasama mereka. Sebelum ini, ia diperkatakan sebagai Lenovo K800 merupakan antara peranti Intel terawal, namun ia disasarkan untuk pasaran China sahaja buat masa ini. Namun, mungkin terdapat peranti lain daripada Lenovo mahupun pengeluar telefon pintar yang lain yang akan diumumkan pada minggu ini.
Intel yang sebelum ini hanya memfokuskan kepada pasaran komputer dan laptop, mula rasa terancam apabila persaingan hebat diterima daripada industri tablet dan juga telefon pintar yang menerima tempahan cip pemprosesan lebih tinggi. Namun, kini persoalannya, adakah prestasi, dan penggunaan bateri pada cip Intel kelak boleh menandingi pesaing-pesaing mereka?