Samsung SUR40 Bersama Microsoft Surface Kini Boleh Didapati Di Malaysia

Samsung SUR40 Bersama Microsoft Surface Kini Boleh Didapati Di Malaysia

Diterbitkan pada Apr 20, 2012 oleh .

Salah satu perkara yang dinantikan ramai pengguna adalah untuk menguji sendiri Microsoft Surface, yang mana memberikan nafas baru kepada dunia perkomputeran, membolehkan para pengguna berinteraksi dengan lebih pintar dan mudah. Hari ini, Samsung dan juga Microsoft bersama mengumumkan pelancaran Samsung SUR40 ke pasaran Asia Tenggara, termasuk di Malaysia, dimana sesiapa sahaja boleh mula mendapatkannya.

Namun, salah satu perkara yang mungkin menghentikan anda adalah harganya. Samsung SUR40 yang membawakan cip pemprosesan AMD Athlon X2 2.9Ghz Dual Core, paparan HD penuh 1080p pada resolusi 1920×1080, ruangan storan sehingga 320GB, skrin bersaiz 40-inci dengan Gorilla Glass, dan juga memori sebanyak 4GB, dijual pada harga RM41,999.

Dengan harga sebegitu, ia kelihatan mereka lebih mensasarkan kepada perniagaan terlebih dahulu yang mana memudahkan mereka membuat persembahan dan demonstrasi, serta mungkin pada masa hadapan kelak, kita akan dapat melihat Samsung ataupun pengeluar lain mengeluarkannya pada harga yang lebih rendah dan mampu milik oleh pengguna biasa.

Jadi, sekiranya anda merupakan salah seorang pembeli Samsung SUR40 di Malaysia, jangan lupa mengajak kami sekali untuk bermain-main padanya.


TIPS & ULASAN