Pada dunia teknologi yang semakin berkembang pesat ini, salah satu perkara yang tidak boleh ditinggalkan ramai adalah telefon pintar masing-masing. Namun, mungkin kadang-kala anda bosan dengan antaramuka atau rekabentuk skrin utama anda, dan inginkan sesuatu nafas baru untuknya. Kini, anda dengan mudah boleh bukan sahaja mendapatkan inspirasi dan idea untuk rekabentuk skrin utama anda, malah berkongsi rekabentuk anda dengan yang lain melalui perkhidmatan yang dinamakan sebagai MyColorScreen.
Walaupun terdapat beberapa perkhidmatan yang serupa dengannya, melalui MyColorScreen, bukan sahaja anda boleh melihatnya, malah turut mengetahui widget mahupun aplikasi apakah yang digunakan mereka dalam mendapatkan rekabentuk sebegitu.
Buat masa ini, melalui MyColorScreen, para pengguna boleh melihat rekabentuk skrin utama untuk peranti yang menggunakan sistem operasi Android dan juga iOS. Ia masih tidak diketahui sama ada adakah mereka akan menambah sokongan untuk Symbian ataupun tidak pada perkhidmatan tersebut.
Jadi, sekiranya anda sendiri pernah berkongsi idea melalui MyColorScreen ataupun terdapat sebarang rekabentuk yang memikat hati anda, jangan lupa berkongsi dengan kami di ruangan komen.