Cari @ Amanz

Salah satu filem yang hangat dipermainkan di pawagam dan diperkatakan oleh ramai pengguna melalui laman sosial adalah The Avengers. Melaluinya, ia membawakan sekumpulan superhero dengan kuasa tersendiri berlawan dalam menyelamatkan bumi dari kehancuran.

Namun, menariknya, ia juga memperlihatkan beberapa teknologi dipertontonkan padanya, yang kelihatan kini sudah pun mula direalisasikan, dan mungkin akan menjadi pada tahap yang lebih tinggi daripada diperlihatkan pada filem tersebut dalam beberapa tahun lagi.

Kebolehan Terbang

Bagi mereka yang gemarkan filem ini, semestinya tahu, kebanyakkan teknologi baru pada The Avengers dibawakan oleh syarikat milik Tony Stark (Iron Man). Salah satu perkara adalah membuatkan IronMan tersebut sendiri terbang.

Jadi, bolehkah manusia terbang dengan sokongan teknologi?
Jawapannya adalah Ya, dimana kini beberapa syarikat telah pun membangunkan sokongan untuk membolehkan para pengguna yang memakai peralatan tambahan untuk mengawal mereka di udara, dan terbang. Salah satu daripadanya adalah dinamakan JetMan, dan kini dalam fasa ujian, dan mungkin akan dijual tidak lama lagi.

Sokongan Bantuan Maya

Sokongan bantuan maya adalah salah satu perkara yang hangat diperkatakan pada penghujung tahun lepas, dengan pengenalan Siri pada iPhone 4S.

Melalui The Avengers, watak Iron Man dilihat boleh berinteraksi dengan pakaian yang dipakai, dimana bukan sahaja mengawal beberapa perkara, tetapi turut boleh mencadangkan beberapa perkara yang lain, dan menghadapi pelbagai kemungkinan.

Mungkin kelak, apabila Siri menjadi lebih matang, selain beberapa teknologi lain (Google dikatakan sedang membangunkan teknologi seumpamanya), sokongan bantuan maya akan menjadi lebih interaktif dan memahami pemiliknya dengan lebih baik lagi.

Skrin Lutsinar Dengan Sokongan Sentuhan

Pada pelbagai adegan di pusat operasi mereka, S.H.I.E.L.D, mereka menggunakan komputer dengan monitor yang menyokong input sentuhan. Selain daripada itu, mereka turut menggunakan monitor dengan skrin lutsinar yang menyokong input sentuhan padanya.

Walaupun mungkin beberapa tahun lalu, teknologi ini nampak agak pelik dan sukar direalisasikan, namun kini ia tidak lagi. Samsung sendiri pada awal tahun ini, pada acara CES 2012 telah mempertontonkan skrin lustinar mereka, bukan sahaja menyokong input sentuhan, malah turut didatangkan bersama-sama dengan kebolehan melenturkannya.

Pada masa yang sama, dengan antaramuka Metro daripada Windows 8 yang mesra skrin sentuh, mungkin kita akan melihat lebih banyak monitor seumpamanya akan popular bermula penghujung tahun ini.

Head-Up Display

Head-Up Display atau pun turut dikenali sebagai HUD merupakan salah satu perkara yang hangat diperkatakan akhir-akhir ini. Melalui filem The Avengers, ia kelihatan pakaian Iron Man dilengkapi dengan sokongan ini, membolehkan mendapat sesuatu informasi dengan mudah tanpa perlu memandang ke perkara lain.

Walaupun beberapa syarikat telah mula membangunkan teknologi seumpamanya, salah satu yang hangat diperkatakan adalah Project Glass daripada Google, yang membawakan kaca mata HUD, menawarkan pelbagai informasi dengan sokongan input suara melaluinya. Buat masa ini, ia pada fasa ujian, dan mungkin akan mula dijual apabila telah bersedia sepenuhnya.

Kesimpulan

Walaupun kita ke arah dunia dengan teknologi yang bergerak pantas, namun salah satu perkara yang tidak dapat dilupakan adalah teknologi klasik dan perkara yang lepas. Perkara ini turut diketengahkan pada filem The Avengers ini, dimana pada satu adegan, memperlihatkan pekerja di S.H.I.E.L.D memainkan permainan klasik pada komputer mereka sambil melakukan kerja.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd