Aplikasi Mac OS X dan Windows Untuk Maxis Loker Diperkenalkan

Aplikasi Mac OS X dan Windows Untuk Maxis Loker Diperkenalkan

Diterbitkan pada Mei 2, 2012 oleh .

Nampaknya, dengan Microsoft dan Google bergiat aktif dalam dunia storan atas-talian, Maxis tidak ingin ketinggalan sama melalui perkhidmatan storan awan mereka, dinamakan sebagai Loker. Setelah memperkenalkan aplikasi web dan juga Android mereka sebelum ini, kini Maxis turut sama menambah aplikasi Windows dan Mac OS X untuk Loker.

Namun, berbeza daripada aplikasi seumpama SkyDrive dan juga Google Drive, melalui versi Mac OS X yang kami uji untuk Loker, ia tidak membuat sebarang folder khas, sebaliknya sync akan senarai hubungan yang disimpan pada buku alamat di OS X terus ke Loker, sekaligus membolehkan anda sync buku alamat anda di peranti dan juga desktop dengan mudah.

Melalui Loker, Maxis menawarkan ruangan percuma sebanyak 150MB, dan menawarkan ruangan tambahan bermula daripada RM5 sebulan untuk 2Gb, 5GB pada RM8 sebulan, dan 10Gb pada RM15. Walaupun harganya mungkin agak mahal, namun memandangkan ianya dibayar menggunakan kredit telefon anda, mungkin ia lebih mudah berbanding menggunakan perkhidmatan lain yang memerlukan pengguna membayar menggunakan kad kredit dan sebagainya.

Namun begitu, sekiranya ia menawarkan sokongan sync folder dan sebagainya, semestinya ia akan menarik lebih ramai pengguna menggunakan perkhidmatan mereka itu kelak. Buat masa ini, Maxis masih belum melancarkan perkhidmatan Loker secara rasmi, dan masih tidak diketahui bilakah mereka akan melancarkannya secara rasmi. Dan memandangkan Maxis menggunakan perkhidmatan pihak ketiga, iaitu daripada Funambol, kita boleh lihat aplikasi iOS turut sama akan dilancarkan dalam masa terdekat kelak.


TIPS & ULASAN