Ulasan : Telefon Pintar 4G Daripada Yes – Eclipse

Ulasan : Telefon Pintar 4G Daripada Yes – Eclipse

Diterbitkan pada Mei 3, 2012 oleh .

Yes seperti semua sedia maklum telah pun melancarkan telefon pintar 4G mereka yang pertama, membawakan sokongan rangkaian 4G WiMax mereka kepada telefon pintar, disamping membolehkan penggunaan rangkaian GSM lain melalui sokongan kad-SIM yang disediakan pada peranti tersebut.

Spesifikasi

Salah satu perkara yang sering diberikan perhatian utama oleh para pengguna adalah spesifikasi yang dibawakan oleh setiap peranti. Dan berikut merupakan spesifikasi penuh yang dibawakan oleh Yes Eclipse:

  1. Skrin Paparan : 4.1-inci WVGA
  2. Cip Pemprosesan : 1GHz Snapdragon
  3. Bateri : 1500mAh (Li-Polymer)
  4. Kamera : 5-megapixel dengan sokongan autofokus dan Flash LED, dan kamera hadapan 0.3-megapixel.
  5. Memori : 512MB RAM
  6. Ruangan Storan Terbina : 2GB
  7. Memori tambahan : 32GB melalui mikro-SD
  8. Sistem operasi : Android Froyo 2.2
  9. Slot tambahan : mikro-USB, jack-audio 3.5mm
  10. Sokongan rangkaian : GSM (850/900/1800/1900), GPRS (Class-12), EGPRS/EDGE, WiMAX IEEE802.16.
  11. Berat : 135g
  12. Dimensi : 122 x 65 x 12.9mm

Rekabentuk

Seperti semua sedia lihat melalui gambar yang disediakan, ia membawakan rekabentuk yang agak ringkas dan mudah dikendalikan, dan sesuai untuk dipegang.

Aplikasi Tambahan

Memandangkan ianya dijana menggunakan Android 2.2 Froyo, Yes Eclipse membawakan pelbagai aplikasi biasa yang didatangkan bersama-sama dengan peranti Android yang lain. Namun, ia kelihatan, pihak Yes telah mengubah-suai kod yang didatangkan bersama-sama dengannya, dengan membuang beberapa perkara yang tidak diinginkan, disamping menyertakan pelbagai sokongan tambahan bersama-sama dengannya.

Antara aplikasi terbina tambahan yang didatangkan adalah termasuk Twidroyd, Woorfood dan juga Yes Life yang diintegrasikan sepenuhnya bersama-sama dengan telefon pintar tersebut.

Yes Eclipse turut sama menyertakan sokongan papan kekunci yang dinamakan sebagai TouchPal Keyboard. Melaluinya, ia membawakan penambahan sokongan swype yang popular, termasuk sokongan dengan menulis menggunakan jari, sesuai untuk input dalam bentuk tulisan, terutamanya untuk bahasa Cina.

Dari segi pilihan bahasa pula, ia menyertakan sokongan bahasa Malaysia, Inggeris dan juga Cina. Namun, untuk input melalui suara, ia hanya membawakan sokongan bahasa Inggeris sahaja.

Yes Ecplise membawakan bersama aplikasi File Browser untuk mengakses fail-fail pada kad SD dengan mudah, disamping Documents To Go untuk memudahkan anda mengakses fail-fail dokumen dengan mudah melalui peranti mudah-alih anda.

Integrasi Rangkaian Yes dan GSM

Berbeza dengan peranti lain yang terdapat dipasaran, salah satu kelebihan adalah sokongan dua rangkaian pada masa yang sama. Ini bermakna, anda boleh menerima panggilan daripada rangkaian Yes dan juga daripada rangkaian lain (melalui penggunaan kad-SIM) pada masa yang sama.

Malah, daripada ujian yang kami lakukan, anda juga boleh membuat panggilan kepada nombor yang sama pada telefon pintar tersebut, dan menerima panggilan tersebut. Walaupun ini hanyalah suatu kerja gila, namun memandangkan peranti ini menyokongnya, ia adalah salah satu perkara yang patut dipuji.

Untuk mereka yang gemar merantau pula, anda boleh mematikan sokongan WiMAX apabila mengembara, dan hanya mengaktifkan rangkaian GSM sahaja.

Melalui Yes Eclipse, para pengguna turut sama boleh mengakses SMS mahupun log panggilan dengan mudah untuk kedua-dua talian, dan melakukan pelbagai perkara yang lain dengan mudah melaluinya.

Panggilan Video

Berbeza dengan panggilan video dan audio yang biasa kita lakukan, Yes Eclipse membolehkan anda membuat panggilan video kepada sehingga 4 nombor berbeza, dan panggilan audio kepada lebih 6 nombor berbeza.

Walaupun ia mungkin tidak digunakan secara meluas, namun, ianya merupakan salah satu fungsi utama sekiranya anda ingin menggunakan untuk perniagaan, dan selalu membuat panggilan berkumpulan.

Bateri

Jangka masa bertahan bateri adalah salah satu perkara yang perlu dipuji untuk Yes Eclipse ini. Melaluinya, ia membawakan masa bertahan bateri yang agak lama, dan boleh digunakan sehingga sehari lebih untuk penggunaan biasa.

Memandangkan melalui Yes, kelajuan internet yang ditawarkan adalah pantas, maka pelbagai perkara dapat dilakukan dengan lebih pantas, termasuk ketika tether kepada komputer riba dan sebagainya. Perkara ini sekaligus membolehkan kita menjimatkan penggunaan bateri, dan membolehkan Yes Eclipse sendiri digunakan untuk masa yang lebih lama berbanding biasa.

Kesimpulan

Bagi mereka yang sememangnya aktif membuat panggilan video, mahupun sedia melanggan rangkaian Yes, mungkin peranti ini adalah amat sesuai untuk anda. Anda boleh mendapatkan peranti ini secara percuma dengan melanggan pakej Eclipse238 dengan kontrak selama 24 bulan daripada Yes.

Namun, sekiranya anda tidak sanggup membayar harga tersebut, anda masih boleh menikmati beberapa perkara daripada Yes Life, dengan mendapatkan peranti Android kegemaran anda, dan menggunakan Huddle XS untuk menikmati rangkaian internet berkelajuan tinggi.


TIPS & ULASAN