MediaFire boleh dikatakan salah satu aplikasi perkongsian fail dan storan awan yang popular dikalangan pengguna tempatan mahupun antarabangsa. Dan untuk memudahkan para pengguna memuat-naik fail dan sebagainya, salah satu aplikasi yang disediakan oleh pembangunnya adalah MediaFire Express.
MediaFire Express telah pun diperkenalkan sejak daripada bulan Februari yang lepas dalam bentuk beta, dan baru-baru ini mereka telah memperkenalkannya untuk para pengguna Linux, selain sedia menawarkan MediaFire Express untuk Windows dan juga Mac OS X.
Melaluinya, seperti semua sedia maklum, MediaFire menawarkan ruangan storan tanpa had. Walaubagaimanapun, setiap fail yang dimuat-naik dihadkan kepada saiz 200MB sahaja. Pada masa yang sama, daripada apa yang kami cuba sendiri, MediaFire Express tidak menawarkan sokongan sync antara desktop dan juga web, tetapi cuma menawarkan sokongan untuk memuat-naik fail dengan mudah dan pantas daripada desktop tanpa memerlukan anda membuka web dan sebagainya.
Walaupun MediaFire Express ini merupakan salah satu aplikasi yang menarik untuk digunakan dalam proses memuat-naik fail dna berkongsi dengan yang lain, kami masih mengemari perkhidmatan seperti SkyDrive, Dropbox mahupun Google Drive memandangkan mereka menawarkan sokongan sync antara web dengan mudah.
Pada masa yang sama, selain daripada MediaFire Express, pembangun perkhidmatan perkongsian fail terkemuka itu juga, baru-baru ini telah memperkenalkan sokongan membaca dan melihat dokumen terus pada pelayar web tanpa perlu memuat-turunnya seperti sebelum ini. Dan mungkin dalam masa-masa akan datang, kita akan terus melihat beberapa perkara baru daripada MediaFire ini.