Samsung Mengumumkan Galaxy S3 Secara Rasminya

Samsung Mengumumkan Galaxy S3 Secara Rasminya

Diterbitkan pada Mei 4, 2012 oleh .

Akhirnya, seperti mana yang dinantikan, hari ini Samsung secara rasminya telah pun melancarkan peranti mereka yang dinantikan ramai, iaitu Samsung Galaxy S3. Melalui peranti baru mereka itu, ia membawakan skrin sebesar 4.8-inci HD Super AMOLED dengan resolusi 306ppi, 1GB RAM, 1.4Ghz Quad-Core, kamera belakang 8-megapixel, kamera hadapan 1.9-megapixel dan bateri 2100mAh.

Namun, ia bukan hanya sekadar peranti Android sahaja, tetapi membawakan lebih daripada itu, dan membawakan sokongan interaksi pintar bersama-sama dengannya. Samsung sendiri menambah beberapa fungsi baru pada telefon pintar mereka menjadikan telefon tersebut lebih pintar berbanding yang lain, sekaligus memberikan kelebihan kepada mereka sebagai pengeluar peranti Android.

Salah satu fungsi baru yang didatangkan adalah Smart Stay, dimana ia membolehkan peranti tersebut mengetahui bila anda melihat skrin dan bila tidak, sekaligus mengawal pencahayaan pada peranti. Disamping itu, sokongan input suara turut ditambah-baik, dan kini dipanggil sebagai S-Voice. Anda kini boleh memulakan peranti dengan suara, disamping membuka aplikasi dan mengetahui pelbagai informasi dan sebagainya dengan mudah.

Sokongan NFC dan WiFi Direct turut disertakan melalui sokongan yang dipanggil S Beam (dikenali sebagai Android Beam pada Galaxy Nexus). Ia turut membawakan beberapa sokongan perkongsian menarik, seperti sokongan Face Detection membolehkan anda mengetahui rakan-rakan anda yang terdapat didalam sesuatu gambar yang dirakam, dan pelbagai sokongan perkongsian yang lain.

Sebagai aksesori tambahan, Samsung Galaxy S3 turut sama membawakan sokongan pengecasan tanpa wayar melalui sebuah aksesori khas.

Dari segi sokongan aplikasi, Games Hub membolehkan para pengguna menikmati pelbagai permainan menarik pada peranti empat-teras ini. Movies Hub dan Music Hub turut diumumkan, tetapi kami rasakan ia tidak akan disokong di Malaysia.

Galaxy S3 dijangka akan mula dijual bermula dari Eropah pada penghujung bulan ini, dan diikuti Asia kemudiannya. Mungkin kita akan dapat mensasarkan Galaxy S3 tiba di Malaysia sekitar Jun atau Julai.


TIPS & ULASAN