Cari @ Amanz

Google Chrome boleh dikatakan sebagai salah satu pelayar web yang amat popular dikalangan pengguna tempatan. Dan seperti semua sedia maklum, Google sebelum ini telah pun melancarkan Chrome Beta untuk Android, menawarkan pelayar web popular mereka tersebut kepada pengguna peranti mudah-alih Android 4.0 Ice Cream Sandwich dan yang terkini.

Melalui Chrome Beta untuk Android, salah satu kelebihan padanya adalah sokongan untuk sync akan pelbagai data terus daripada pelayar web desktop Chrome anda, termasuk bookmark, dan sebagainya. Namun, buat masa ini, Chrome Beta masih tidak menyokong Chrome WebStore, sekaligus menjadikan ia tidak boleh menggunakan aplikasi Chrome tambahan dan juga extension. Namun, mungkin kelak Google akan memperkenalkannya kepada para pengguna Android, walaupun maklumat berkaitan dengannya tidak diketahui buat masa ini.

Fungsi-fungsi biasa pada versi desktop turut sama disertakan pada Chrome untuk Android, termasuk sokongan membuka pelbagai tab, halaman utama untuk melihat web-web yang sering dibuka, bookmark dan sebagainya, mengakses bookmark pada desktop, melihat Favourites, mengawal tetapan, sekuriti dan sebagainya. Chrome untuk Android tidak membawakan sokongan Flash, mungkin kerana pelbagai aplikasi pada peranti mudah-alih kini lebih menumpukan kepada pembangunan kandungan berasaskan HTML5. Ia juga turut didatangkan dengan sokongan pop-up blocker sekaligus menjadikan pengalaman penggunaan anda lebih menarik lagi.

Bagi mereka yang ingin hanya melihat web dalam bentuk desktop dan bukannya versi yang dioptimasikan untuk peranti mudah-alih, mungkin anda boleh aktifkan sokongan khas yang disediakan pada halaman tetapan, dan melayari laman web sama seperti pada desktop. Fungsi ini mungkin amat berguna sekiranya anda menggunakan tablet untuk melayari laman web dan sebagainya.

Salah satu perkara yang kami suka adalah termasuk sokongan untuk memberikan cadangan carian ketika menaip pada kotak URL, sama seperti yang terdapat pada versi desktop. Ini membolehkan para pengguna menjimatkan masa menaip, serta memilih terus carian popular yang dicadangkan oleh Chrome ketika menaip sesuatu kata kunci.

Untuk mematikan sesuatu halaman tab juga amat mudah, dimana para pengguna hanya perlu menarik halaman tab tersebut ke bawah, dan ia akan ditutup secara automatik. Namun, dari segi pengurusan tab, walaupun ia menyokong melihat tab daripada desktop terus ke peranti Android, ia tidak menyokong daripada Android ke desktop buat masa ini. Mungkin Google akan memperkenalkannya tidak lama lagi pada aplikasi Chrome mereka untuk Android.

Buat masa ini, Chrome untuk Android hanya ditawarkan untuk para pengguna Android 4.0 Ice Cream Sandwich sahaja, dimana bagi anda yang berminat, boleh memuat-turunnya secara percuma daripada Google Play hari ini, dan mula menggunakannya sendiri. Ia masih tidak diketahui sama ada Chrome untuk iOS, BlackBerry dan sebagainya akan diperkenalkan ataupun tidak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd