Cari @ Amanz

Bagi para pengguna Android, kadang-kala untuk memindahkan fail dan sebagainya, mungkin ia agak sukar untuk dikendalikan, dan memerlukan anda menghubungkan peranti dengan komputer melalui wayar dan sebagainya. Untuk memudahkan anda menyambungkan peranti kepada komputer, salah satu aplikasi ringkas dan mudah digunakan adalah AirDroid.

Seperti pada namanya, ia menggunakan sokongan WiFi untuk menghubungkan anda kepada komputer. Anda hanya perlu memuat-turun aplikasi AirDroid pada peranti anda, kemudiannya melayari web AirDroid melalui pelayar web menggunakan komputer yang dihubungkan pada WiFi sama. Sebaik sahaja mengakses web berkenaan, anda boleh memilih untuk mengimbas kod QR ataupun memasukkan kata laluan padanya.

Sokongan mengimbas kod QR seperti gagal berfungsi ketika kami menggunakannya, dan ia lebih mudah apabila menggunakan kata laluan untuk mengaksesnya. Sebaik sahaja anda memasukan kata laluan, ia akan membawa pengguna kepada sebuah halaman dashboard khas untuk menguruskan peranti mereka.

Beberapa sokongan menarik pada dashboard tersebut adalah termasuk sokongan untuk mengakses fail-fail pada Android anda (mahupunkad-SD), melihat dan memindahkan gambar terus ke komputer anda daripada peranti Android, menguruskan aplikasi yang dipasang pada peranti Android (anda boleh memasang fail APK terus ke peranti Android menggunakan pelayar web), dan beberapa perkara lain lagi.

Sekiranya peranti anda sedia di root maka anda turut boleh menggunakan fungs-fungsi tambahan, seperti merakamkan paparan skrin dan sebagainya. Melalui dashboard yang disediakan, para pengguna turut sama boleh melihat status semasa peranti mereka, termasuk keadaan bateri, ruangan kosong dan sebagainya.

Bagi anda yang menggunakan peranti Android, mungkin boleh memuat-turun aplikasi percuma AirDroid ini daripada Google Play Store, dan menguji serta menggunakannya hari ini. Sekiranya anda mempunyai alternatif lain dengan fungsi seumpamanya, jangan lupa berkongsi dengan kami.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd