Sejak ramai pembangun projek sumber terbuka OpenOffice berpindah ke pembangunan LibreOffice sejak Sun diambil-alih oleh Oracle, berita berkenaan dengan OpenOffice agak sukar kedengaran. Kini, melalui versi baru, ia menggunakan nama panggilan baru, iaitu Apache OpenOffice 3.4, dan telah pun dilancarkan kepada para pengguna Windows, Mac dan juga Linux.
Setelah menjadi pelbagai kontroversi, OpenOffice telah disumbangkan kepada ASF, dan kini melaluinya, ia dinamakan sebagai Apache OpenOffice Project, sekaligus mungkin penamaan ini memberikan idea perisian pejabat alternatif percuma ini masih kekal dalam industri sumber terbuka, sekaligus menarik pengguna untuk menggunakannya.
Melalui Apache OpenOffice 3.4, ia membawakan kemaskini kepada pelbagai aplikasi padanya, termasuk sokongan grafik dan dokumen ODF yang dipertingkatkan. Ia lebih memfokuskan kepada peningkatan prestasi dan kualiti aplikasi tersebut secara menyeluruh.
Mungkin selepas ini, kita akan terus dapat melihat perkembangan positif Apache OpenOffice ini. Bagi anda yang berminat, mungkin boleh memuat-turunnya hari ini, ataupun sebaliknya, mungkin turut boleh mencuba LibreOffice, salah satu alternatif lain untuk aplikasi pejabat yang boleh membaca pelbagai dokumen popular yang digunakan hari ini.