Kini, aplikasi boleh dikatakan memainkan peranan yang amat penting, sama ada pada peranti mudah-alih mahupun komputer. Dan nampaknya Facebook turut sama tidak ingin ketinggalan, dengan memperkenalkan App Center, membolehkan anda menemui pelbagai aplikasi baru sama ada percuma mahupun berbayar, dan termasuk yang menggunakan HTML5 padanya.
Facebook App Center ini dijangka akan dilancarkan dalam beberapa minggu lagi kepada semua pengguna, dan para pembangun yang berminat boleh mengujinya bermula daripada hari ini.
Melalui Facebook App Center, ia turut sama akan mengintegrasikan sokongan sosial, membolehkan anda melihat aplikasi-aplikasi popular berdasarkan kepada pilihan rakan-rakan anda, dan sama seperti beberapa kedai aplikasi lain, ia turut akan menyertakan halaman khas membolehkan anda melihat beberapa paparan skrin dan juga maklumat lanjut berkaitan aplikasi berkenaan.
Dan memandangkan ia turut sama akan mengintegrasikan sokongan App Center pada iOS dan juga Android, semestinya ia akan memberikan tekanan hebat kepada penyedia kedai aplikasi yang lain, namun menguntungkan para pengguna pada masa yang sama.