Bagaimana Mengakses Box.net Melalui Windows Explorer?

Bagaimana Mengakses Box.net Melalui Windows Explorer?

Diterbitkan pada Mei 11, 2012 oleh .

Selain daripada Dropbox, Google Drive dan Skydrive, salah satu perkhidmatan storan awan yang popular adalah Box.net. Untuk makluman, Box.net menyediakan aplikasi mereka khas untuk pengguna perniagaan, dan bagaimana pula dengan pengguna biasa? Kini, untuk pengguna Windows, anda turut sama boleh menambah akses pantas kepada dokumen di Box.net dengan mudah pada desktop anda.

Perkara ini boleh digunakan pada desktop melalui sokongan WebDAV (Web Distributed Authoring and Versioning). Untuk memudahkan para pengguna menambahnya, anda hanya perlu ke halaman My Computer anda, dan seterusnya klik kanan, dan memilih pilihan “Add A Network Location”.

Sebuah skrin pilihan akan hadir, memberikan anda sokongan untuk menambah lokasi rangkaian anda. Melalui kotak penambahan alamat URL, taip akan https://www.box.com/dav padanya, dan klik Next.

Anda akan diminta dengan kata laluan dan juga nama pengguna. Masukkan nama pengguna dan kata laluan untuk akaun Box.net, dan klik Ok. Anda akan dihubungkan dengan akaun Box.net anda, dan kemudian sebuah tetingkap akan keluar meminta anda untuk menamakan folder khas yang akan disimpan pada My Computer anda.

Melaluinya, kini anda dengan mudah boleh mengakses pelbagai fail daripada akaun Box.net anda dengan mudah terus daripada Windows Explorer. Namun, hendaklah diambil perhatian yang mana ia bukanlah beroperasi sepenuhnya seperti folder pada komputer anda, sebaliknya dihubungkan kepada pelayan Box.net terlebih dahulu, sepertimana sokongan FTP digunakan.

Jadi, anda akan masih memerlukan sokongan internet untuk membaca sesebuah dokumen mahupun untuk memuat-naik dan sebagainya. Walaupun ianya mungkin masih tidak memberikan perkhidmatan seumpama Dropbox dan sebagainya, namun, anda masih boleh menggunakannya sebagai ruangan simpanan untuk fail-fail anda sebagai salinan pendua. Apatah lagi dengan Box.net yang menawarkan sehingga 50GB ruangan percuma kepada pengguna mereka baru-baru ini.

Tips awal daripada Arif Ishak. Terima kasih InstantFundas.


TIPS & ULASAN