Cari @ Amanz

Seperti mana yang dinantikan, hari ini, pihak PitchIN telah pun melancarkan perkhidmatan mereka secara rasminya, membolehkan para pembangun tempatan berkongsi akan idea yang mereka ingin bangunkan dan mendapatkan dana daripada sumbangan orang ramai.

Secara kasarnya, ia membawakan konsep yang seumpama dengan KickStarter yang semakin meningkat popular, namun PitchIN memfokuskan kepada pasaran tempatan, sekaligus mempertingkatkan lagi perkembangan idea-idea tempatan dan membantu mereka merealisasikannya.

Walaubagaimanapun, dari segi rekabentuk laman web tersebut sendiri, ia kelihatan agak mengecewakan, dan seperti kurang professional, berbanding pesaing terdekatnya MyStartr. Namun, dari segi bilangan idea, pada PitchIN kelihatan lebih banyak berbanding MyStartr yang turut membawakan fungsi yang serupa.

Selain daripada kekurangan dari segi rekabentuk, PitchIN juga menggunakan PayPal untuk membolehkan para pengguna menyumbang kepada idea pilihan mereka. Ini mungkin sekali lagi mengurangkan penyertaan pengguna tempatan. Pertanyaan kami kepada pihak PitchIN mendapati yang mana sistem pembayaran tempatan seperti iPay88 dan sebagainya tidak menyokong sistem seumpamanya buat masa ini. Pada masa yang sama, PitchIN turut mengatakan mereka sedang dalam perbincangan bersama beberapa pihak bank untuk memudahkan lagi sumbangan dana melalui perkhidmatan mereka.

Laman web mereka juga kekurangan data berkenaan syarikat disebalik laman PitchIN, seperti alamat pejabat mahupun bagaimana untuk menghubungi mereka dengan pantas, selain daripada menggunakan emel dan sebagainya. Perkara ini mungkin akan menyebabkan pengguna tempatan yang ingin menyumbang sedikit ragu-ragu berkaitan perkhidmatan ini.

Bersama-sama dengan pelancaran mereka, beberapa idea turut disenaraikan, yang mana lebih memfokuskan kepada dunia penerbitan buku dan video. Mungkin dalam masa beberapa minggu atau bulan, kita akan dapat melihat perkembangan positif dalam dunia startup dan web tempatan.

Bagi anda yang berminat, mungkin boleh melayari laman PitchIN hari ini, disamping menyumbang kepada idea kegemaran anda.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd