Cari @ Amanz

Salah satu menu makanan popular dikalangan rakyat Malaysia untuk sarapan pagi adalah Nasi Lemak. Dan dalam memudahkan para pengguna mengetahui kedai-kedai berdekatan yang menjual Nasi Lemak disamping membaca ulasan pembaca berkaitan sesuatu lokasi, kini sebuah aplikasi ditawarkan untuk para pengguna iOS di Malaysia.

Melalui aplikasi yang dinamakan sebagai Nasi Lemak daripada Zolxton Technologies ini, ia membolehkan para pengguna menggunakan aplikasi mereka untuk menemui pelbagai tempat-tempat menarik yang menawarkan makanan Nasi Lemak. Disamping itu, melalui sokongan geolokasi, anda boleh melihat lokasi berdekatan anda yang menawarkan makanan tersebut.

Pada masa yang sama, melalui aplikasi tersebut, para pengguna juga boleh menambah lokasi-lokasi berdekatan mereka, disamping berkongsi akan lokasi tersebut bersama pengguna yang lain. Selain itu, sokongan menambah komen mahupun menambah rating turut disertakan pada aplikasi tersebut.

Melalui pertanyaan ringkas kami kepada pembangun aplikasi Nasi Lemak ini, mereka mengatakan versi Android akan menyusul, namun tiada sebarang tarikh rasmi diberikan untuknya buat masa ini.

Bagi anda yang berminat dan menggunakan platform iOS, terutamanya iPhone dan juga iPod Touch, anda boleh memuat-turun Nasi Lemak daripada AppStore secara percuma hari ini, sekaligus memudahkan anda dalam mencari sarapan pagi kegemaran ramai itu.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd