Terdapat beberapa permainan berasaskan peranti mudah-alih yang dibangunkan oleh pembangun tempatan? Tetapi bagaimana pula dengan permainan desktop? Kini, salah satu kumpulan pembangun bebas dalam proses membangunkan permainan perlumbaan berbentuk multiplayer yang dikenali sebagai TrackVerse.
TrackVerse dibangunkan oleh Nakama Studios Sdn Bhd untuk platform Windows, dimana buat masa ini, ia masih pada peringkat Alpha lagi. Memandangkan ianya masih awal, masih terdapat beberapa masalah yang kami hadapi ketika penggunaannya, termasuk crash ketika memainkannya, berkemungkinan kerana kami mengujinya pada komputer dengan spesifikasi rendah.
Selain daripada itu, masih tiada sokongan untuk bermain secara perseorangan, dan bunyi dan audio permainan belum dimasukkan buat masa ini.
Apa yang menarik minat kami terhadap TrackVerse adalah grafik dan antaramuka permainannya. Walaupun bahagian menu tampak biasa, namun, didalam permainan, TrackVerse membawakan grafik yang amat baik, boleh dikatakan sama taraf dengan permainan perlumbaan yang lain.
Buat masa ini, kami masih belum mengujinya dalam bentuk multiplayer, dan mungkin akan melakukannya dalam masa terdekat. Sementara itu, sekiranya anda ingin mengujinya sendiri, boleh memuat-turun TrackVerse secara percuma daripada laman rasmi mereka. Namun, seperti biasa, ia masih diperingkat Alpha, dan mungkin mempunyai beberapa kekurangan padanya.