Aplikasi Friendster Untuk Peranti Mudah-Alih Bakal Menyusul?

Aplikasi Friendster Untuk Peranti Mudah-Alih Bakal Menyusul?

Diterbitkan pada Mei 17, 2012 oleh .

Friendster sejak diambil-alih oleh pihak MOL telah mengalami pelbagai perubahan, dan telah mengubah hala tuju menjadi laman permainan. Kini, MOL turut mengatakan sepanjang tahun ini, mereka bakal membawakan beberapa perubahan, disamping menambah angka pengguna di Malaysia daripada 4 juta pengguna aktif kepada lebih 10 juta pengguna aktif pada penghujung tahun.

Pada masa yang sama, Friendster masih memfokuskan kepada arena permainan, dimana mereka dijangka bakal terus menambah permainan yang ditawarkan melalui platform mereka. Memandangkan ianya didatangkan dengan sokongan HTML5, maka ia boleh dimainkan bukan sahaja melalui pelayar web moden, tetapi turut pada peranti anda termasuk pada peranti iOS, Android, BlackBerry PlayBook dan sebagainya.

Menurut mereka lagi, aplikasi rasmi mereka untuk beberapa platform bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Disamping pengumuman perkara ini, Friendster juga turut memperkenalkan Friendster iCafe, salah satu sistem pengurusan cybercafe daripada Friendster, dan juga Friendster HotSpot yang semestinya dikenali ramai, yang mana memberikan akses WiFi melalui beberapa kedai makanan milik Berjaya Group.

Beberapa fungsi tambahan lain seperti sokongan sembang ketika bermain, antaramuka permainan baru yang lebih mesra pengguna, serta sokongan mendapatkan dan menggunakan duit maya melaluinya lebih dipermudahkan lagi.

Dan dalam usaha untuk terus mempromosikannya, Friendster bakal melakukan kempen promosi secara besaran dalam bulan-bulan akan datang.


TIPS & ULASAN