Carian
Samsung Mendahului Industri Mudah-Alih Pada Suku Tahun Pertama 2012
May 17, 2012 Aman

Seperti pada setiap suku tahun, Gartner telah pun mengeluarkan data terkini mereka berkaitan dengan jualan telefon mudah-alih diseluruh dunia. Melalui data yang dikeluarkan oleh Gartner, ia memperlihatkan Samsung terus mengungguli jualan telefon pintar diseluruh dunia, dan Android menjadi platform pilihan ramai untuk telefon pintar.

Nokia yang dahulunya memegang takhta dalam dunia mudah-alih kini menduduki tempat kedua, dengan perbezaan hanya sekitar 1% berbanding dengan Samsung. Apple pula menduduki tangga ketiga, dan diikuti oleh ZTE dan juga LGE. Research In Motion melalui peranti BlackBerry mereka kelihatan hanya memegang sekitar 2.4% pegangan pasaran mudah-alih sahaja, namun mendahului pelbagai jenama lain, termasuk Sony dan juga HTC.

Dari segi platform pula, Android memegang majoriti daripada pasaran telefon pintar, iaitu sebanyak 56.1%, dan diikuti oleh iOS pada 22.9%. Symbian menduduki tangga ketiga, dan diikuti oleh BlackBerry pada tangga ke-empat. Apa yang menariknya melalui data yang dikeluarkan, ia sekali lagi memperlihatkan platform yang dibangunkan oleh Samsung, iaitu Bada mendahului jualan peranti Windows Phone daripada Microsoft.

Seperti biasa, Samsung, Nokia dan Apple semestinya mempunyai strategi mereka tersendiri dalam terus mengukuhkan kedudukan mereka sepanjang tahun ini.

Samsung baru-baru ini telah pun melancarkan Galaxy S3, disamping Apple dan Nokia, masing-masing disasarkan memperkenalkan peranti iOS 6 dan juga Windows Phone 8 dalam beberapa bulan lagi, sekaligus memberikan lebih pilihan kepada para pengguna. Research In Motion turut sama mula menarik perhatian melalui platform BlackBerry 10 mereka yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Komen