Salah satu masalah yang sering dihadapi oleh jemaah haji di Malaysia mahupun diseluruh dunia adalah sesat dan tidak mengetahui berada di mana. Untuk mengatasi perkara ini, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia memperkenalkan aplikasi mereka yang dinamakan sebagai HajjLocator.
Melalui aplikasi HajjLocator, ia menggunakan sokongan GPS terbina untuk mengetahui kedudukan semasa seseorang, dan memperlihatkannya kepada pentadbir, mahupun keluarga terdekat mereka. Pengguna aplikasi tersebut juga turut sama boleh mengetahui kedudukan semasa rakan-rakan mereka yang lain terus melaluinya.
Kedudukan semasa lokasi juga dikatakan dikemaskini dalam masa-nyata, membolehkan kedudukan seseorang itu diketahui dengan pantas. Pada masa yang sama, bagi mereka yang tidak mempunyai telefon pintar, sebuah peranti khas disediakan dengan integrasi sokongan GPS padanya.
Menurut pembangunnya, mereka telah pun bersedia untuk mengkomersialkan aplikasi ini, dan mungkin ia akan diperkenalkan bersama-sama dengan beberapa agensi pengurusan Haji dan Umrah tidak lama lagi.