Untuk platform Windows Phone, salah satu pengeluar peranti yang memberikan fokus utama adalah Nokia, dan kelihatan yang mana mereka akan terus memperkenalkan pelbagai aplikasi baru untuk pengguna Lumia. Terkini, ia kelihatan Nokia dalam proses untuk memperkenalkan aplikasi kamera dan kawalan data yang baru untuk pengguna Nokia.
Perkara ini dikongsikan oleh BlogJack melalui beberapa paparan slaid yang dikongsikan, dimana melaluinya, ia kelihatan Nokia bakal memperkenalkan sesuatu yang dinamakan sebagai Camera Extension. Melalui apa yang kelihatan, ia menunjukkan aplikasi Camera Extension akan membawakan beberapa sokongan tambahan, termasuk meletakkan jangka masa sebelum merakamkan gambar, merakamkan gambar ketika bergerak, dan juga gambar panorama.
Pada masa yang sama, salah satu aplikasi baru yang turut bakal diperkenalkan adalah sokongan untuk melihat penggunaan data melalui telefon pintar mereka. Ia sekaligus memudahkan para pengguna mengawal penggunaan data mereka, supaya tidak melebihi had yang biasanya ditetapkan oleh syarikat telekomunikasi.
Buat masa ini, ia masih tidak diketahui lagi bilakah kedua-dua aplikasi ini akan diperkenalkan untuk pengguna Lumia.