Cari @ Amanz

Terkini, setelah mengeluarkan laporan berkenaan bilangan telefon pintar di Malaysia sebelum ini, kini Nielsen turut sama berkongsi perkara berkaitan populariti pembelian permainan mudah-alih melalui peranti pintar. Melalui apa yang dikongsikan, ia kelihatan hanya amaun kecil sahaja dihabiskan oleh pengguna Malaysia untuk permainan untuk peranti mudah-alih ini.


Gambar : Mike Smith

Dan beberapa pembangun kaitkannya dengan data yang dikeluarkan sebelum ini, yang mengatakan 78% pengguna tempatan menggunakan perisian cetak rompak. Namun, berbeza dengan mereka, kami berpendapat berbeza sedikit, dimana pengguna tempatan masih tidak aktif menggunakan pembayaran melalui kad kredit untuk pembelian atas talian.

Ia boleh dikatakan dimana pengguna tempatan lebih gemar membeli kandungan untuk peranti mudah-alih mereka menggunakan kredit prabayar atau pascabayar berbanding dengan pembelian menggunakan kad kredit. Perkara ini boleh dikaitkan dengan kejayaan permainan mudah-alih yang ditawarkan melalui dengan hanya menghantar SMS beberapa tahun sebelum ini. Malah modal tersebut turut digunakan syarikat televisyen dalam membuat permainan melalui saluran televisyen dengan mengawal watak melalui SMS. Ia boleh dikatakan salah satu perkara berjaya, malah ramai yang sanggup membeli kredit tambahan untuk prabayar mereka untuk bermain bersama yang lain.

Namun, memandangkan gergasi pengeluar peranti mudah-alih seperti Apple dan juga Google masih belum menyokong pembelian melaluinya. Nokia sebelum ini menyokong perkara tersebut melalui platform Symbian mereka, sekaligus membuat ramai pembangun Symbian dapat menjana pendapatan melaluinya. Mungkin perkara ini turut akan berubah tidak lama lagi. Jikalau tidak silap, Google sudah mula mengintegrasikan pembayaran mengikut syarikat telekomunikasi pada beberapa negara, dan mungkin akan diperluaskan tidak lama lagi.

Ramai juga mengaitkan perkara ini mengenai kurangnya populariti ini adalah kerana ramai gemarkan jailbreak dan root peranti mereka. Bagi kami, ianya bukanlah suatu masalah besar, malah turut berlaku dinegara-negara yang lain. Dan daripada rakan-rakan terdekat kami, ia didapati para pembangun lebih gemarkan jailbreak peranti mereka, berbanding pengguna biasa, yang kekal menggunakan peranti iPhone dan iPad seperti biasa tanpa jailbreak. Perkara sama juga untuk Android, dimana ramai root akan peranti tersebut untuk sekadar mengubah ROM, rekabentuk dan sebagainya, dan bukannya untuk menggunakan perisian cetak rompak. Malah sekiranya mereka ingin menggunakannya, pada Android, tidak diperlukan untuk root, dan boleh digunakan terus tanpa masalah.

Pada masa yang sama, boleh dikatakan pengguna tempatan mungkin tidak gemarkan bermain permainan atas peranti mudah-alih mereka, tetapi lebih gemarkan permainan kasual pada Facebook mahupun desktop. Daripada data yang dikongsikan Nielsen sendiri memperlihatkan peratusan yang memuat-turun permainan mudah-alih adalah kurang berbanding beberapa negara lain. Malah, daripada apa yang kami lihat secara rambang, pengguna tempatan lebih gemar menggunakan aplikasi sosial pada peranti mudah-alih mereka, disamping menggunakan permainan jenis Lite pada peranti mereka, cuma untuk sekadar menghabiskan masa bosan.

Namun, kami percaya, sekiranya sesuatu aplikasi benar-benar berkualiti, dan mereka tertarik dengan sesuatu permainan, menghabiskan sebanyak $0.99 untuk menyokong pembangun tersebut bukanlah suatu masalah besar bagi para pengguna.


Lebih ramai aktif membeli aplikasi berbentuk produktif berbanding permainan di Malaysia?

Jadi, apa kata anda?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd