Jikalau Google mengoptimasikan aplikasi mereka dengan memudahkan perkongsian gambar pada Google+, kini Facebook pula memperkenalkan aplikasi khas untuk perkongsian gambar, dinamakan sebagai Facebook Camera. Buat masa ini, ia hanya ditawarkan untuk pengguna iOS sahaja.
Menariknya mengenai Facebook Camera ini adalah dimana para pengguna bukan sahaja boleh berkongsi gambar yang dirakamkan dengan mudah, tetapi pada masa yang sama turut menambah efek pada gambar, untuk menjadikannya lebih menarik. Sokongan lain seperti kebolehan untuk tag rakan-rakan dan sebagainya turut disertakan pada aplikasi ini.
Namun begitu, percubaan kami untuk memuat-turunnya masih gagal, memandangkan berkemungkinan ia belum diperkenalkan kepada pengguna Malaysia lagi buat masa ini. Walaubagaimanapun, sekiranya anda menggunakan akses kepada iTunes beralamatkan Amerika Syarikat, anda mungkin berpeluang menggunakannya hari ini.
Facebook Camera ini masih tidak diketahui bilakah akan diperkenalkan kepada pengguna Android. Sekiranya anda masih ingat, sebelum ini Facebook pernah memperkenalkan aplikasi Facebook untuk Android dengan akses pantas kepada Camera dan Messenger, sebelum membuangnya kembali. Mungkin mereka akan memperkenalkannya tidak lama lagi kepada pengguna Android.
Disamping itu, kita juga dapat melihat yang mana kini Facebook aktif membangunkan aplikasi mudah-alih mereka. Sejak daripada pengambil-alihan Instagram, mereka telah memperkenalkan dua aplikasi baru, termasuk Facebook Pages Manager dan juga hari ini, Facebook Camera. Adakah selepas ini Facebook akan terus memperkenalkan beberapa aplikasi lain untuk pengguna mereka, selain daripada aplikasi Facebook rasmi, dan juga Facebook Messenger?