Cari @ Amanz

TechTroll1Malaysia Pad (1MP) baru sahaja dilancarkan minggu lalu dan tablet 7″ penjenamaan semula dari produk negara Duke Ji Chang dan Rahib Esa ini menerima banyak kritikan dari orang ramai kerana masih menggunakan sistem perisian Android Gingerbread walaupun perisian ini sudah 2 generasi kebelakang. Dalam temubual ekslusif Amanz bersama MalTekNewb Sdn Bhd pengeluar 1MP semalam, mereka memberitahu penaiktarafan kepada versi Android terkini sedang dilakukan. Menurut Ketua Pegawai Teknologi mereka Encik Danial bin Hussen Akhlakhein 1MP akan menerima penaiktarafan versi tempatan bagi memastikan tablet ini memenuhi citarasa tempatan.

“Dalam masa sebulan dua lagi kami akan menaiktarafkan sistem operasi dari Gingerbread kepada Android versi Haruan Masak Sambal. Seterusnya kami akan membangunkan sistem operasi Android Itik Masak Kicap. Kami rasakan Android Honeycomb dan Ice Cream Sandwich tidak cukup 1Malaysia untuk digunakan pada tablet berimejkan Malaysia. Berapa ramai orang Malaysia yang pernah makan Honeycomb dan Ice Cream Sandwich?. Lebih ramai dah merasa Haruan Masak Sambal dan Itik Masak Kicap”

Beliau juga berharap produk mereka ini akan mendapat sambutan hangat seperti kereta buatan Malaysia. Selain daripada itu kami juga diberitahu pihak Maltek juga dalam proses menghasilkan tablet sebesar 3. 18″ dan 5.7 “ yang diberinama Merdeka Pad dan Tunku Tab. Saiz 3.18″ dan 5.7″ dipilih kerana signifikan dengan tarikh kemerdekaan Malaysia.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd