Ulasan Dan Pandang Pertama : Permainan Men In Black 3 Daripada Gameloft

Ulasan Dan Pandang Pertama : Permainan Men In Black 3 Daripada Gameloft

Diterbitkan pada Mei 26, 2012 oleh .

Bagi yang mengikuti perkembangan di Droid.my, semestinya mengetahui akan mengenai permainan terbaru daripada Gameloft untuk Android dan semestinya untuk iOS, iaitu Men In Black 3. Permainan ini diperkenalkan bersempena dengan filem dengan judul sama yang sedang dimainkan di pawagam.

Kami sendiri telah berkesempatan mencuba sendiri permainan ini pada platform Android, yang mana membawakan permainan serupa pada platform iOS. Permainan ini ditawarkan secara percuma, namun untuk menghabiskannya dengan cepat, disamping membeli pelbagai senjata dan peralatan berkuasa tinggi, para pemain boleh melakukan pembelian melalui aplikasi permainan tersebut.

Dari segi antaramuka, Men In Black 3 membawakan antaramuka yang kemas, dan mudah dikendalikan pada skrin sentuh. Namun, kadangkala, pada bahagian menu, butangnya agak sukar untuk ditekan. Selain daripada itu, ia berjalan tanpa sebarang masalah ketika bermain.

Melalui permainan tersebut, para pemain akan memainkan watak seorang ejen, dimana perlu berhadapan dengan pelbagai makhluk asing untuk menyerang dan membunuh mereka. Pada masa yang sama, pemain juga bertugas untuk menguruskan agensi Men In Black itu sendiri, memerlukan anda mengumpulkan wang, disamping membina beberapa bangunan dan pejabat baru, termasuk senjata, kenderaan dan sebagainya. Anda juga boleh mengupah ejen untuk bekerja untuk anda, dan meminta mereka menyelesaikan beberapa misi, tanpa anda perlu menyertai misi tersebut.

Ketika bermain, ia membawakan cara serangan mengikut giliran, dimana setelah anda menyerang musuh dan mencederakan mereka, anda pula akan diserang. Ia akan berterusan sehingga HP seseorang itu kehabisan. Semestinya, para pemain boleh menambah kembali HP mereka melalui ubata yang disediakan untuk mereka, disamping melakukan serangan berkuasa tinggi dengan pilihan khas.

Pada masa yang sama, jikalau permainan lain disediakan dengan pelbagai lokasi untuk diteroka, untuk Men In Black 3 ini pula, ia menawarkan anda pelbagai jangka-masa, membolehkan anda menjelajah masa, dan membunuh musuh disana.

Buat masa ini, kami telah mencapai tahap ke-7, dan masih mempunyai laluan yang jauh lagi, dimana dengan mencapai setiap tahap, sesuatu senjata baru akan dibolehkan untuk digunakan, sekaligus memberikan daya serangan yang lebih tinggi lagi.

Memandangkan ianya permainan percuma, ia berbaloi untuk diuji oleh semua, dan pada masa yang sama, boleh memberikan anda variasi dalam permainan pada peranti mudah-alih anda, selain daripada Angry Birds dan sebagainya. Namun, satu-satunya kekurangan, untuk melakukan misi-misi baru, para pemain perlu dihubungkan terlebih dahulu ke internet, sebelum boleh melakukannya.


TIPS & ULASAN