Cari @ Amanz

Terdapat pelbagai pilihan kamera digital pada pasaran hari ini, dan salah satu kamera terbaru yang dilancarkan oleh Samsung pada bulan lepas di Malaysia adalah Samsung DV300F, yang mana membawakan pelbagai sokongan tambahan berbanding kamera biasa padanya. Di Malaysia, kamera DV300F ini ditawarkan pada harga RM699.

Melalui DV300F, ia membawakan dua skrin, satu pada bahagian belakang seperti biasa, dan satu lagi pada bahagian hadapan, untuk membolehkan anda merakamkan diri sendiri mahupun merakamkan video dengan mudah melaluinya, tanpa tersasar atau silap seperti sebelumnya.

Dari segi spesifikasi pula, kamera DV300F ini membawakan lensa 16.1-megapixel, sokongan slot mikro-USB, sokongan zoom sehingga 5 kali, rakaman video 720p pada kadar 30fps dalam format MP4, dan juga sokongan WiFi terbina padanya.

Menariknya pada kamera DV300F ini daripada Samsung adalah dimana ia turut mengintegrasikan pelbagai fungsi menarik bersama dengannya, membolehkan anda merakamkan gambar dalam pelbagai bentuk menarik.

DV300F membawakan sokongan merakamkan gambar berbentuk panorama, selain turut menyokong untuk menambah pelbagai efek pada gambar yang dirakamkan (seumpama Instagram). Untuk memudahkan perkongsian, ia didatangkan dengan sokongan terus ke Facebook, Picasa, dan juga YouTube, membolehkan anda menghantar gambar yang dirakamkan serta-merta ke sana. Sebagai sokongan ruangan storan tambahan, integrasi Skydrive turut didatangkan bersama kamera DV300F ini.

Dalam masa beberapa hari akan datang, kami akan mencuba sendiri kamera ini, dan membuat ulasan penuh berkaitan dengannya dalam beberapa hari lagi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd