Beberapa minggu yang lepas, Google telah pun memperkenalkan sokongan Knowledge Graph kepada umum, yang mana memberikan lebih informasi berkenaan sesuatu carian yang dilakukan, sekaligus memudahkan para pengguna mengetahui pelbagai maklumat berkenaan sesuatu perkara, seperti lokasi, orang, dan sebagainya dengan pantas.
Sehingga ke hari ini, perkara ini masih belum diperkenalkan pada Google Malaysia, dan masih hanya aktif pada laman utama Google.com sahaja. Mungkin ia akan mengambil sedikit masa sebelum ianya diperkenalkan pada Google Malaysia untuk diakses oleh lebih ramai pengguna tempatan.
Melalui Knowledge Graph, ia menarik maklumat daripada pelbagai pangkalan data, termasuk Wikipedia, CIA World Factbook dan pelbagai maklumat awam yang lain, dan mempersembahkannya dalam bentuk yang menarik, bersebelahan dengan keputusan carian untuk sesuatu kata kunci.
Google nampaknya, selain memudahkan para pengguna menemui apakah yang sedang dicari, ia juga kini memudahkan pengguna memahami sesuatu kata kunci yang mereka cari dengan pantas, dan menjimatkan masa daripada perlu membuka pelbagai sumber yang lain.
Sekiranya anda ingin mencuba sendiri, mungkin boleh ke laman Google.com, dan membuat carian kata kunci seperti nama orang, tempat, bangunan dan sebagainya, dan lihat data dipersembahkan dalam bentuk yang amat menarik sekali.
Terima kasih Nazrien.