Carian
Lebih Info Mengenai Tablet Nexus Daripada Asus Diketahui
May 30, 2012 Aman

Tablet Nexus daripada Google merupakan salah satu perkara yang dinantikan ramai pada acara Google I/O kelak. Dan lanjutan daripada pelbagai ura-ura berkaitan dengan tablet yang dibangunkan oleh Asus itu, kini beberapa maklumat tambahan didapati, termasuk nama model untuk tablet tersebut yang dikatakan sebagai Nexus 7, berkemungkinan dinamakan bersempena dengan saiz tablet tersebut.

Melalui data yang didapati melalui keputusan penilaian daripada Rightware, beberapa perkara lain turut didapati melaluinya.

Salah satu perkara adalah berkaitan dengan angka versi untuk Android akan datang. Walaupun sebelum ini ia sering diperkatakan sebagai Android 5.0 untuk Jelly Bean, melalui apa yang diperlihatkan, ia menggunakan SDK versi 4.1. Selain itu, dari segi spesifikasi pula, Google Nexus 7 ini dikatakan bakal membawakan resolusi sekitar 768×1280 padanya.

Sebelum ini, tablet Xoom daripada Motorola dilihat seperti agak kurang mendapat sambutan berbanding tablet-tablet yang lain di Malaysia. Namun, mungkinkah Google Nexus 7 ini bakal mendapat perhatian di mata pengguna?

Komen