Walaupun ChromeBook masih lagi tidak dilancarkan secara rasminya di Malaysia, sebelum ini, kita telah berpeluang melihat dengan dekat dua ChromeBook di Malaysia, iaitu CR48 dan juga daripada Samsung ChromeBook Series 5. Dan kini, Google turut mengumumkan kemaskini untuk ChromeBook untuk pasaran luar negara, dengan bekerjasama bersama pihak Samsung.
Bagi yang tidak ketahui akan ChromeBook, ia merupakan sistem operasi berasaskan perkomputeran awan daripada Google, yang menggunakan pelbagai perkara daripada pelayar web popular mereka, Chrome. Memandangkan pembangunan Chrome merupakan antara pembangunan yang amat aktif, dengan kemaskini hampir setiap hari, ia juga membolehkan para pengguna menikmati pelbagai perkara baru melalui ChromeOS.
Melalui kemaskini yang dibawakan, ChromeBook kini didatangkan dengan sistem operasi bersama antaramuka Aura, sekaligus memberikan lebih sentuhan seumpama komputer biasa, dengan akses pantas pelbagai perkara dan dokumen, berbanding sebelum ini yang mana ChromeOS terus membuka pelayar web setelah selesai boot.
Bersama-sama dengan ChromeBook yang beroperasi sebagai laptop biasa, ChromeBox juga ditawarkan, membolehkan anda menggunakannya sebagai desktop dengan menyambungkan monitor, papan kekunci dan sebagainya padanya.
Buat masa ini, ia seperti masih tiada sebarang perancangan untuk melancarkan ChromeBook di Malaysia. Walaubagaimanapun, memandangkan Google menawarkannya melalui Amazon, mungkin anda boleh melakukan tempahan untuknya.
Ataupun, sebagai alternatif lain, mungkin boleh memuat-turun Chrome dalam bentuk LiveCD, dan mencubanya sendiri pada komputer sedia ada anda.