Carian
Apakah Perkara Yang Tidak Boleh Dilakukan Oleh Pengendali Facebook Pages?
May 30, 2012 Ikhwan Nazri

Facebook telah menjadi salah satu perkara utama yang disemak oleh semua pengguna hampir setiap hari. Dengan angka pengguna yang menghampiri 1 billion, pengurusan halaman Facebook Pages sahaja telah menjadi salah satu industri yang besar, dimana sebelum ini, dilaporkan oleh pelbagai media berkenaan dengan pengurusan Facebook Page sahaja dibayar sehingga RM5,000.

Facebook Pages untuk jenama juga kini turut menjadi rujukan ramai pengguna dan juga pelanggan untuk sesuatu perkara, disamping menjadi tempat aduan dan juga tomahan oleh para pengguna. Walaupun perkara ini adalah perkara biasa, namun, untuk pengendali yang menguruskan laman tersebut, mereka perlu bertindak professional dalam menguruskannya.

Jadi apakah perkara-perkara yang perlu dielakkan daripada dilakukan oleh pengendali Facebook?

Mengemaskini Sesuatu Yang Menyinggung Sensitiviti Masyarakat Tertentu.
Semua sedia maklum, Malaysia merupakan negara yang mempunyai penduduk berbilang bangsa dan juga kaum. Dalam mengemaskini artikel pada halaman Facebook Pages, pelbagai perkara perlu diambil kira sebelum dikongsikan bersama, apatah lagi terutamanya jenama-jenama terkemuka supaya tidak mengecewakan pengguna mereka, sekaligus membuatkan jenama mereka diboikot dan sebagainya.

Memperli Pengguna dan Pelanggan
Salah satu perkara yang kerap berlaku dengan pilihan raya umum yang semakin dekat adalah memperli pengguna Facebook Pages dengan memburukkan mereka dengan mengaitkan dengan sesuatu parti dan sebagainya.

Selain daripada itu, pengendali laman Facebook Pages juga perlu mengendalikan pelbagai situasi dengan professional, dan tidak memperli pengguna apabila mereka memberikan komen berkenaan dengan perkhidmatan mereka.

Memadam dan Membuang Komentar Pengguna
Setiap komentar daripada pengguna adalah salah satu perkara yang baik untuk sesuatu organisasi mahupun jenama, membolehkan mereka mengetahui apakah pendapat pengguna lain berkenaan dengan mereka. Namun, salah satu perkara biasa yang kita lihat adalah biasanya pengendali laman Facebook Pages sering memadam komen-komen dan luahan rasa berbentuk negatif pada halaman Facebook Pages mereka.

Sebaliknya, berbanding dengan memadamkan komen tersebut, pengendali halaman Facebook Pages tersebut perlulah bersikap professional dan membalas setiap komentar tersebut supaya para pengguna mereka rasa dihargai, sekaligus pada masa yang sama, membolehkan sesuatu jenama atau organisasi membaiki kesilapan mereka.

Menghantar Mesej Spam Kepada Pengguna Mereka
Salah satu fungsi yang terdapat pada Facebook Pages adalah sokongan untuk pengendali menghantar mesej kepada semua, yang mana boleh dilihat melalui halaman Facebook Messages untuk pengguna. Sama seperti melalui emel, perkara ini juga merupakan salah satu perkara yang dianggap spam, selain mana ianya kurang efektif, memandangkan ramai yang tidak menyemak mesej yang dihantar oleh Facebook Pages.


Gambar daripada GreyReview.

Senarai diatas adalah secara kasar dan kalau diikutkan, mungkin lebih panjang lagi. Perlu diingatkan tanggungjawab pengendali Facebook Page sama tanggungjawabnya seperti pegawai perhubungan am, perlu menjaga budi bahasa dan tatacara baik di dunia realiti mahupun dunia atas talian.

Kami harap sama-sama mengambil iktibar atas kejadian ini.

Komen