Bersama-sama dengan pelancaran Astro On-The-Go hari ini, pihak Astro turut berkongsi beberapa data menarik berkaitan dengan perkhidmatan mereka. Melalui apa yang dikongsikan, ia kelihatan kini Astro mempunyai kadar penembusan sebanyak 50% di Malaysia.
Ia merupakan salah satu angka yang besar untuk syarikat televisyen berbayar, dengan mempunyai sebanyak 3.1 juta pelanggan, dan 18 juta penonton di seluruh Malaysia.
Pada tahun ini, selain daripada Astro On-The-Go ini, mereka turut sama telah melancarkan dan menawarkan perkhidmatan NJOI kepada orang ramai, membolehkan mereka menikmati beberapa saluran daripada Astro secara percuma, dengan hanya mempunyai alat penerima daripada Astro.
Pada minggu lepas juga, mereka telah melancarkan rancangan baru dalam memupuk dan membetulkan kesilapan penggunaan bahasa Inggeris, dinamakan sebagai Oh My English, dimana sejak dilancarkan, ia kini telah menerima lebih 1.3 juta paparan di YouTube, dan menjadi antara perbualan hangat di Twitter, dan carian popular di Google.
Apabila bercakap mengenai sasaran masa depan pula, Astro mensasarkan untuk mempunyai kadar penembusan di Malaysia sebanyak 100%. Mungkin untuk menjayakannya, mereka bakal hadir dengan beberapa produk yang lebih menarik lagi, pada masa yang sama mengukuhkan lagi rangkaian sedia ada mereka.
Astro On-The-Go yang dilancarkan hari ini boleh didapati dalam bentuk aplikasi iPad dan juga boleh diakses terus melalui web. Astro turut mengatakan aplikasi iPhone, Android dan yang lain-lain bakal menyusul secara berperingkat.