Setelah mengambil-alih Zagat sebelum ini, hari ini, Google melancarkan integrasinya pada perkhidmatan laman sosial mereka dan dijenamakan sebagai Google+ Local. Secara kasarnya, ia membolehkan para pengguna mengikuti ulasan rakan-rakan berkenaan dengan sesuatu lokasi terus melalui laman Google+.
Perkara ini sekaligus membolehkan anda mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan dengan sesuatu lokasi itu, dan menentukan sama ada ingin ke sana ataupun tidak. Pada masa yang sama, integrasi Zagat juga membolehkan anda mengetahui markah yang didapati oleh sesuatu lokasi, terutamanya restoran dan sebagainya.
Google juga dilihat amat memfokuskan kepada sokongan lokasi ini, dengan menambah sebuah tab khas pada laman sosial mereka. Namun, melalui apa yang kami lihat daripada laman Google+, sokongan tersebut masih belum meluas lagi. Mungkin kita akan dapat melihatnya dengan lebih mendalam dalam masa terdekat.