Cari @ Amanz

Sejak daripada semalam, kemaskini ICS telah diperkenalkan untuk peranti Samsung Galaxy S2, dan salah satu persoalan yang timbul adalah bagaimana untuk mengemaskininya, dan disini kami menyediakan dua cara untuk mengemaskininya, iaitu sama ada melalui penggunaan cara OTA ataupun melalui aplikasi Kies.

Namun, seperti biasa, sebelum memulakan sebarang langkah mengemaskini, perkara utama yang perlu dilakukan adalah membuat salinan pendua untuk data-data pada peranti anda. Untuk melakukannya, anda hanya perlu menyambungkan peranti anda kepada komputer melalui Kies, dan melakukan back-up melaluinya.

Mengemaskini Melalui OTA

Pada peranti Android, cara termudah yang menjadi pilihan ramai pengguna untuk mengemaskini peranti mereka adalah melalui cara OTA. Untuknya, anda hanya perlu memastikan peranti anda disambungkan kepada sebarang rangkaian WiFi (untuk mengelakkan penggunaan data tambahan pada pakej data anda), dan memulakan proses mengemaskininya.

Untuk kemaskini melalui OTA ini, Samsung mengatakan para pengguna memerlukan sekurang-kurangnya ruangan kosong sebanyak 350MB pada peranti anda.

Untuk memulakannya, anda hanya perlu ke halaman tetapan, dan memilih About Phone. Kemudian pada menu-menu yang dipaparkan, pilih Software Update.

Melaluinya, anda boleh melakukan semakan secara manual, dengan memilih pilihan Update. Ia kemudiannya akan membuat semakan pada server, dan kemudian memberikan pilihan untuk anda mengemaskini peranti anda kepada ICS.

Data sebanyak hampir 200MB akan dimuat-turun dan ianya akan dipasang, dan peranti anda akan dimulakan secara automatik dengan menggunakan Android 4.0 Ice Cream Sandwich.

Melalui Kies Desktop

Walaupun cara OTA didapati berhasil dikalangan pengguna yang menggunakan peranti Galaxy S2 GT-i9100, namun, untuk peranti GT-i9100G, kami dapati ianya gagal dan memerlukan pengguna menggunakan Kies Desktop untuknya.

Terlebih dahulu, para pengguna perlu memuat-turun Kies 2.0, memandangkan ICS tidak disokong pada KIES 1.5 dan sebelumnya. Anda boleh memuat-turun Kies 2.0 secara percuma melalui laman rasmi Samsung untuk sistem operasi Windows dan juga Mac.

Selesai sahaja memasang Kies 2.0, anda boleh mulakannya, dan pada masa yang sama sambungkan Samsung Galaxy S2 anda kepada desktop atau komputer melalui sokongan kabel mikro-USB.

Secara automatik, ia akan mengesan peranti anda, dan sebuah mesej akan dipaparkan, memperlihatkan pilihan kemaskini. Namun, kadangkala ia tidak berfungsi secara automatik. Sekiranya ia berlaku, selesai sahaja anda menyambungkan peranti anda melalui mikro-USB, pilih tetapan “Firmware Upgrade” pada Kies.

Seterusnya, klik pada “Start Upgrade”. Pastikan anda membaca pelbagai arahan yang disediakan terlebih dahulu padanya. Selesai sahaja anda klik “Start Upgrade”, pelbagai perkara akan dilakukan secara automatik, dimana Kies akan memuat-turun data yang diperlukan, dan peranti anda akan dikemaskini secara automatik. Pastikan anda tidak mematikan sambungan mikro-USB pada peranti anda, untuk mengelakkan sebarang masalah timbul.

Selesai sahaja dikemaskini, sebuah mesej akan dipaparkan mengatakan “Firmware Upgrade Complete”, dan peranti anda akan dimulakan semula dengan Android 4.0 Ice Cream Sandwich.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd