Dengan pelancaran Windows 8 Release Preview dua hari lepas, lebih ramai yang ingin mencubanya, dan pada masa yang sama tidak ingin memberikan sebarang efek pada sistem operasi sedia ada mereka. Untuk melakukannya, para pengguna boleh menggunakan aplikasi Virtual Box.
Terlebih dahulu, untuk memulakan proses pemasangan dan menjalankan Windows 8 pada Virtual Box, para pengguna perlu memuat-turun aplikasi percuma yang ditawarkan oleh Oracle daripada laman rasmi mereka.
Selesai memuat-turun dan memasangnya pada komputer anda, mulakannya seperti biasa. Dan anda akan dipaparkan dengan sebuah tetingkap baru, dengan pilihan New, Settings, Start dan sebagainya. Klik pada New, dan ikuti arahan pada skrin. Pada bahagian versi, pilih Windows 8 dibawah sistem operasi Microsoft Windows.
Untuk pilihan yang lain, ikuti tetapan yang disediakan secara automatik oleh Virtual Box, dimana secara kasarnya, anda boleh menekan butang “Next” sehingga ke akhir. Pada skrin akhir, ringkasan untuk tetapan akan diperlihatkan, dan sebaik sahaja klik Create, sebuah sistem operasi baru akan ditambah, dinamakan mengikut apa yang anda namakan pada awalnya.
Untuk memulakannya, para pengguna hanya perlu klik pada nama sistem operasi tersebut, dan klik pada butang “Start”, dan sistem operasi akan dimulakan, daripada skrin boot sehingga menjalankan sistem operasi sepenuhnya. Namun ketika menjalankan ianya buat pertama kali, para pengguna akan diminta untuk memilih fail ISO, dan menetapkannya, seterusnya memulakannya seperti biasa. Untuk kali seterusnya, sistem operasi tersebut akan dimulakan seperti biasa, tanpa perlu melalui tetapan untuk kali pertama ini.
Namun, seperti biasa, memandangkan ianya dijalankan didalam sistem operasi sedia ada, maka prestasinya mungkin agak kurang berbanding memasang sistem operasi itu pada partition khas sepenuhnya.
Kaedah ini juga boleh digunakan untuk menjalankan pelbagai jenis sistem operasi, termasuk sistem operasi Linux dan sebagainya.