Ulasan: Windows 8 Release Preview

Ulasan: Windows 8 Release Preview

Diterbitkan pada June 3, 2012 oleh .

Mendukung kebenaran yang kita sepakati, Windows 8 yang bakal dilancarkan tidak beberapa lama lagi bakal menggegarkan dimensi baru dunia pengkomputeran masa kini. Premis ini jelas memberitahu bahawa versi pembangunan Windows 8 sebelum ini dilihat positif sekaligus meningkatkan api semangat Microsoft untuk memajukan lagi pembangunan Windows 8. Kini, Microsoft tampil di mata dunia sekali lagi dengan melancarkan versi pembangunan Windows 8 Release Preview sebagai versi percubaan terakhir sebelum versi akhir Windows 8 dilancarkan secara rasmi kepada umum.

Menurut laman Windows Team Blog, terdapat sejumlah perubahan signifikan yang telah dibawa oleh Windows 8 Release Preview daripada versi yang sebelumnya iaitu Windows 8 Consumer Preview. Lantarannya, pelbagai pendekatan yang dominan telah diketengahkan untuk memajukan sistem operasi ini sebelum dilancarkan kelak. Memetik satu pepatah, “masa dihargai, janji ditepati”, kami akan menerangkan beberapa fungsi dan perubahan yang terbaru pada Windows 8 Release Preview.

Boot Screen

Pada Windows 8 Developer Preview, proses boot telah didatangkan dengan perkataan “Windows Developer Preview” serta titik bulatan beranimasi yang sangat menarik. Paparan perkataan minimalis pada proses boot tersebut tidak diteruskan pada Windows 8 Consumer Preview yang lalu tapi diteruskan kembali pada versi Release Preview ini dengan menggantikan perkataan tersebut kepada perkataan “Windows” sahaja. Hal ini jelas menunjukkan bahawa Microsoft amat komited dalam menekankan nilai simplistik pada sistem operasi terbaru mereka. Pada akhir sesi boot, sama seperti versi yang sebelumnya, paparan tersebut akan hilang dengan fade effect yang pasti memukau perhatian buat kali pertama melihatnya.

Start Screen

Selepas proses login, seperti mana pada versi Developer Preview mahupun Consumer Preview, pengguna akan dibawa ke Start Screen yang menempatkan pelbagai tile aplikasi yang antaranya berasaskan teknologi HTML 5. Menariknya, aplikasi yang berasaskan teknologi ini memudahkan pengguna mengakses sesuatu informasi tanpa perlu membuka dan melayari internet dengan menggunakan pelayar web.

Pada versi Windows 8 Release Preview, Start screen didatangkan dengan warna latar belakang berwarna biru gelap secara default, sama seperti pada versi Consumer Preview. Cuma yang membezakan pada versi Consumer Preview dan versi ini hanyalah corak latar belakang yang digunakan. Selain itu, Windows 8 Release Preview turut hadir dengan bilangan pilihan warna tema yang lebih banyak berbanding versi yang sebelumnya. Terdapat 25 kombinasi warna tema yang boleh ditetapkan mengikut citarasa pengguna.

Pada versi Windows 8 Consumer Preview, Microsoft telah mengimplementasikan fungsi semantic zoom yang telah diperkenalkan pada acara tahunan BUILD tahun lalu ke dalam versi tersebut. Kini, fungsi tersebut diteruskan lagi pada versi Release Preview. Fungsi semantic zoom membenarkan pengguna mengecilkan Start Screen untuk melihat aplikasi yang berada pada Start Screen tersebut secara menyeluruh. Dari situ, pengguna dapat mengurus, mengubah kedudukan serta menamakan kumpulan aplikasi secara bebas mengikut kehendak pengguna.

Disamping meneruskan fungsi semantic zoom pada Windows 8 Release Preview, pengawalan Start Screen yang ada pada versi Consumer Preview diteruskan dalam versi ini. Fungsi yang dikenali sebagai hidden app bar menawarkan kepada pengguna untuk pin sebarang perisian executable, laman web, kontak, dan lain-lain lagi. Pengguna yang menggunakan desktop juga boleh menggunakan satu fungsi baru yang dipanggil Push untuk skrol kandungan Start Screen secara pantas dengan mengheret kursor ke tepi kiri dan kanan skrin.

Internet Explorer 10

Windows 8 Release Preview telah tampil dengan versi pelayar web Internet Explorer 10 yang membawakan versi kod Release Preview. Sejak dari versi Developer Preview, ia tampil dalam dua versi, satu versi Desktop Internet Explorer 10 dan satu lagi Internet Explorer 10 dengan antara muka metro.

Desktop Internet Explorer 10 masih lagi meneruskan pelayaran web yang pantas dengan sokongan plug-in dan extension.

Perubahan kecil yang dapat disaksikan pada Internet Explorer 10 mod Desktop adalah pada ketika komputer ketiadaan sambungan internet. Paparan halaman “You’re not connected to a network” diberi nafas baru dengan antara muka yang lebih kemas dan mudah difahami.

Perubahan besar yang dapat disaksikan ialah pada Internet Explorer 10 mod Metro. Sebelum ini, kita semua ketahui bahawa Internet Explorer pada mod Metro tidak didatangkan dengan sebarang sokongan plug-in selain menggunapakai teknologi HTML 5. Pada versi Release Preview ini, Microsoft mengumumkan kerjasama bersama Adobe dengan mengimplementasikan Flash Player pada pelayar web mod Metro, sekaligus melebarkan senyuman bagi peminat pelayaran web dengan sokongan Flash. Untuk pengetahuan umum, Internet Explorer 10 mod Metro dan mod Desktop didatangkan khas secara default dengan Adobe Flash Player 11.3.

Walau bagaimanapun, sokongan Adobe Flash Player pada Internet Explorer 10 mod metro adalah terhad dan hanya laman web yang disahkan sahaja dapat menggunakan Flash. Pihak Microsoft memaklumkan sokongan Adobe Flash pada Internet Explorer 10 mod Metro hanyalah subset daripada Adobe Flash Player 11.3 demi untuk menjaga kepantasan, jangka hayat bateri, dan beberapa perkara yang melibatkan sekuriti.

Windows Store

Fungsi yang sering mendapat perhatian pengguna, fungsi Store telah menerima pembaharuan pada Windows 8 Release Preview. Fungsi ini dilihat dapat memudahkan pengguna untuk memuat turun aplikasi Metro dengan antara muka yang serba ringkas dan pantas. Apa yang menariknya, Microsoft menawarkan kesemua aplikasi yang berada di Store tersebut secara percuma sehingga versi akhir tiba sebelum menjelang hujung tahun ini.

Pada versi ini, hanya perubahan kecil yang dapat disaksikan pada aplikasi Store. Antara muka Store kini kelihatan lebih segar, ringkas, dan menarik sekaligus memudahkan pengguna memilih aplikasi kesukaan mereka. Fungsi Store pada Windows 8 Release Preview juga didatangkan dengan penambahan bilangan aplikasi yang sedia untuk dimuat turun oleh pengguna. Antara aplikasi yang menarik untuk dicuba ialah Fruit Ninja dengan sokongan Xbox Live, Rowi for Windows 8 (Twitter client popular pada Windows Phone 7), Fresh Paint, dan Awesome Picture yang boleh didapati secara percuma.

Fungsi Desktop

“Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”, itulah antara ungkapan yang sesuai untuk fungsi Desktop ini yang masih bertakhta di hati pengguna. Secara amnya, antara muka dekstop dan pengalaman menggunakannya saling tidak tumpah seperti menggunakan sistem operasi Windows 7. Pengguna boleh mengaksesnya dengan membuat klik pada tile Desktop di Start Screen. Melalui fungsi ini, pengguna masih lagi dapat mengakses Desktop seperti mana mereka gunakan pada versi Windows yang sebelumnya.

Perubahan yang jelas menonjol pada paparan desktop Windows 8 Release Preview ini dapat disaksikan dengan kehadiran wallpaper diambil di sebuah laman bunga berbanding versi Consumer Preview yang mengambil ‘Betta Fish’ sebagai elemen utama wallpaper desktop.
Sejak dari versi Consumer Preview juga, fungsi Start menu yang menjadi sajian harian pengguna PC selama hampir dua dekad telah digantikan dengan fungsi Start screen yang amat menarik penggunaannya. Untuk mengakses kembali ke Start screen, pengguna hanya perlu membawa kursor ke sedikit bawah tempat asal Start menu.

Windows Explorer

Pembaharuan Windows Explorer yang dilakukan pada Windows 8 Release Preview dapat dilihat pada antara muka yang menjadi semakin kemas, ‘solid’, dan kurang penglibatan antara muka yang bersifat ‘glossy’. Seperti mana Windows 8 Consumer Preview, ribbon toolbar kini telah di-hide-kan secara default. Sifat ribbon yang mengambil ruang yang besar sememangnya menimbulkan ketidakselesaan sesetengah pengguna akan fungsi itu. Sama seperti versi pembangunan Windows 8 yang sebelumnya, Windows Explorer pada Windows 8 Release Preview masih mengekalkan butang “Up” dan nama program di bahagian tengah titlebar. Antara muka Windows Aero juga masih wujud dalam versi Release Preview ini walaupun Microsoft telah memaklumkan bahawa antara muka tersebut akan dimatikan pada versi akhir kelak.

Fungsi Auto Colorization

Windows 8 telah didatangkan dengan fungsi Auto Colorization, memudahkan pengguna dalam menetapkan warna tema Windows mereka. Melalui fungsi ini, warna tema akan ditetapkan secara automatik berdasarkan warna utama wallpaper yang pengguna aktifkan.

Paparan Kursor Diperbaharui

Selain daripada perubahan pada antara muka desktop, antara muka pada kursor juga telah diperbaharui dengan paparan yang lebih segar berbanding versi sebelum ini. Paparan kursor ‘glossy’ yang telah digunakan buat sekian lama sejak zaman Windows Vista telah digantikan dengan kursor ‘solid’ yang ternyata lebih ringkas dan kemas.

Windows Task Manager

Perubahan drastik yang dapat dilihat sejak dari Windows 8 Developer Preview adalah dengan kehadiran Task Manager yang telah diubah suai dan diperbaharui. Task Manager yang diperbaharui ini memberi kepada pengguna dengan fungsi yang lebih ‘advance’ lagi di samping mengoptimasikan penggunaan tab pada fungsi tersebut.

Lock Screen

Fungsi Lock Screen yang sangat popular digunakan pada telefon pintar masa kini turut diimplementasikan pada Windows 8. Fungsi ini dapat diaktifkan setelah pengguna ‘lock’ PC mereka yang dilihat amat penting bagi pengguna komputer tablet. Windows 8 Release Preview membolehkan pengguna menukar gambar pada Lock Screen tersebut dengan enam pilihan gambar latar belakang yang menyejukkan halwa mata. Paparan Lock Screen pada Windows 8 memaparkan waktu serta notification yang berlatar belakangkan wallpaper yang telah ditetapkan pengguna tersebut.

Untuk keluar daripada Lock Screen, pengguna perlu mengheretkan Lock Screen tersebut ke atas dan Windows akan membawa pengguna ke paparan login screen (jika password dipasang) atau ke tempat sebelum Lock Screen diaktifkan seperti Desktop atau Start screen semula.
Control Panel

Windows 8 Release Preview masih mengekalkan nilai elegan pada antara muka Control Panel versi Metro. Control Panel versi Desktop masih lagi sama seperti yang terdapat pada versi pembangunan yang sebelumnya. Untuk pengetahuan umum, Windows 8 telah didatangkan dengan dua Control Panel pada mod yang berbeza. Satu Control Panel untuk Desktop dan satu lagi Control Panel dari Start Screen. Segala tetapan telah disatukan dalam antara muka Metro yang kemas dan ringkas.

Charm Bar

Windows 8 sememangnya direka untuk memudahkan pengguna melakukan tugasan harian mereka. Fungsi yang diberi nama Charm Bar menjadi elemen yang cukup penting bagi sistem operasi ini agar lebih mudah untuk digunakan. Untuk memaparkan fungsi tersebut, pengguna hanya perlu menggerakkan kursor di penghujung kanan atas skrin atau menggunakan kombinasi butang “Windows + C” pada keyboard. Sejak dari Windows 8 Consumer Preview, logo Windows telah digantikan dengan logo baru yang lebih signifikan untuk ke Start screen.

Charm Bar yang direka memudahkan pengguna mengakses beberapa tugasan pada Windows 8 seperti akses pantas ke Start Screen atau menggunakannya untuk tugasan pantas yang lain seperti mengawal sambungan WiFi atau shut down komputer.

App Switcher

Bermula dari Windows 8 Consumer Preview, antaramuka Switcher yang baru telah diperkenalkan, menyediakan cara yang konsisten untuk melakukan penukaran serta mengawal antara aplikasi. Pengguna boleh mengeluarkan fungsi App Switcher dengan membawa kursor ke atas kiri skrin dan heretkannya ke bawah. Switcher memaparkan aplikasi yang berjalan dalam bentuk thumbnail untuk memudahkan pengguna memilih dan mengakses aplikasi tersebut. Cukup mudah, pengguna hanya perlu tarik keluar salah satu thumbnail tersebut dan lepaskan ke bawah skrin untuk menutup aplikasi tersebut.

Perubahan kecil yang dapat disaksikan pada fungsi App Switcher pada Windows 8 Release Preview adalah dengan kehadiran label pada thumbnail aplikasi. Ini amat memudahkan pengguna meninjau sesuatu aplikasi tanpa sebarang kekeliruan. Paparan App Switcher yang hadir pada versi ini tampak lebih bergaya dan elegan berbanding versi yang lalu.

App Snapping

Melakukan dua tugasan dalam satu masa sudah menjadi trend oleh pengguna PC hari ini selepas Microsoft memperkenalkan fungsi Aero Snap pada Windows 7. Bertepatan dengan peribahasa, “yang lama dikelek, yang baharu didukung”, Microsoft mengambil inisiatif untuk memperkenalkan fungsi App Snapping pada Windows 8. Fungsi ini membolehkan pengguna untuk Snap aplikasi Metro ke bahagian tepi kiri atau kanan skrin dan pada masa yang sama, skrin utama membolehkan pengguna memaparkan kerja utama mereka. Sebagai contoh daripada penggunaan fungsi ini, pengguna dapat melakukan tweet ditepi skrin sambil di paparan utama melakukan tugasan yang lain seperti melayari laman web, melakukan tugasan pejabat, mahupun menonton video.

Smart Copy

Melalui Windows 8, Smart Copy membolehkan pengguna mengawal pemindahan data dari satu tempat ke satu tempat dengan mudah. Pengguna juga diberi pilihan untuk melihat informasi penghantaran fail seperti kelajuan penghantaran dengan lebih mendalam. Jurutera Microsoft bijak menggunakan mata akal mereka dengan membolehkan Smart Copy mengawal pemindahan fail dengan mudah, seperti menghentikan sesuatu fail itu dipindahkan sementara menunggu fail yang lain dipindahkan atau sebagainya.

Windows 8 Recovery

Perkara yang menarik didatang bersama Windows 8 adalah fungsi “Recovery” yang mana membolehkan pengguna untuk Refresh atau Reset komputer mereka. Fungsi yang diperkenalkan sejak Windows 8 Developer Preview ini membolehkan pengguna membuat ‘refreshment’ pada PC yang digunakan tanpa perlu ‘format’ kembali PC tersebut.’

Refresh PC – merupakan satu tetapan untuk reload Windows 8 tanpa kehilangan file pengguna, gambar, video, muzik, dan lain-lain. Ia diibaratkan seperti memasang semula Windows tetapi prestasinya ternyata lebih baik disamping tidak perlu risau akan kehilangan segala dokumen penting.

Reset PC – suatu tetapan untuk meletakkan komputer kepada keadaan seperti yang asal. Perlu diingatkan, harus berhati-hati sebelum memulakan proses ini kerana ia akan memadamkan kesemua file pengguna. Ia akan menjadi berguna apabila pengguna perlu membersihkan cakera keras akibat daripada jangkitan virus.

Fungsi File History Windows 8

Sejak Windows 8 Developer Preview, Windows 8 telah didatangkan dengan satu fungsi baru yang diberi nama “File History”. Fungsi ini akan menyimpan salinan data yang telah ditandakan, bermakna pengguna boleh restore data tersebut jika ia hilang mahupun rosak. Fungsi ini boleh diakses melalui Control Panel.

Sokongan Integrasi SkyDrive

Tiada sebarang aplikasi tambahan perlu dimuat turun kerana SkyDrive sudah menjadi sebahagian daripada Windows 8. Aplikasi SkyDrive versi Metro membolehkan pengguna untuk sync fail peribadi mereka terus ke akaun SkyDrive tanpa perlu membuka sebarang pelayar web. Melalui fungsi ini, pengguna dapat mengakses fail mereka pada peranti lain tidak kira masa, di mana jua.

Sokongan Integrasi Microsoft Account

Dengan log masuk ke Microsoft account yang dahulunya dikenali sebagai Windows Live ID, pengguna dapat melakukan sync untuk membawa seluruh keperluan peribadi pengguna tersebut pada Windows 8 ke peranti mudah alih serta PC yang lain. Ini termasuk beberapa kandungan seperti PC settings, personalizations (warna tema, wallpaper, lock screen, dan gambar pengguna), ease of access settings, bahasa pilihan, app settings, browser settings, Explorer dan mouse settings, informasi log masuk, dan pelbagai lagi. Apa yang menarik, kesemua ini dijayakan dengan hanya log masuk akaun sahaja.

Sokongan Xbox Live

Satu lagi sokongan yang menjadi titik jualan Windows 8 adalah integrasi di antara sistem operasi dan Xbox Live. Microsoft mengambil pendekatan ini untuk menyatukan desktop mahupun tablet dengan peranti permainan yang menjadi sebutan pengguna pada era ini untuk menjadikannya lebih menarik dan praktikal. Sedikit perubahan yang dapat dilihat berbanding versi Consumer Preview, Windows 8 Release Preview tidak didatangkan dengan sebarang permainan Xbox Live seperti Solitare serta Pinball FX2 dan pengguna perlu memuat turunnya secara berasingan di Store.

Konklusi

Prinsip “genggam bara api biar sampai jadi arang” yang dipraktikkan oleh jurutera Microsoft sememangnya membuahkan hasil apabila ramai yang memuji tahap prestasi dan stabiliti sistem operasi ini. Sesungguhnya Microsoft komited dalam memberikan pengalaman menggunakan PC yang lebih baik untuk pengguna hari esok. Pengalaman menggunakannya cukup berharga sehingga tidak lekang tangan penulis mengheret kursor ke sana ke mari untuk menelusuri sistem operasi itu sehingga saat ini. Ia umpama satu dunia baru yang perlu ditelusuri satu persatu dan diamati setiap fungsi yang ada demi menjamin kepuasan menggunakannya.

Dari segi prestasi, kelancaran Windows 8 Release Preview cukup dipuji kerana kebanyakan aplikasi Metro sudah boleh beroperasi dengan lancar tanpa sebarang masalah ‘hang’ atau ‘tersekat-sekat’. Prestasi pada Windows 8 Release Preview mod Desktop juga sedikit sebanyak terasa seperti baru diisi dengan RON97 walaupun ia dipandu oleh sebuah komputer lama yang menggunakan Intel Pentium Dual-Core. Kepantasan Windows 8 Release Preview sememangnya meyakinkan penulis untuk beralih menggunakan Windows 8 secara terus-menerus tanpa kompromi lagi.

Ramuan antara muka Metro yang disulami tekad menjadi acuan utama dalam pembangunan Windows 8. Adunan typografi dan gambar diadun secara minimalis menaikkan selera halwa mata disamping pengguna dapat merasai kelazatan dan kemanisan dalam merasai pengalaman menggunakan sistem operasi ini. Sememangnya acuan untuk membentuk Windows 8 perlu diteliti dengan rapi untuk menghasilkan satu sistem operasi yang enak untuk dinikmati.

Nukilan Arib Ismail untuk Amanz. Ikuti beliau di @arib2020.

TIPS & ULASAN