Cari @ Amanz

Blogr 2.0 Membawakan Pelbagai Fungsi Baru

Oleh Aman

Link Copied!

Blogr.my merupakan salah satu laman aggregator tempatan, membolehkan ramai pengguna berkongsi artikel dengan mudah bersama pembaca yang lain. Setelah beroperasi sejak tahun lepas, kini Blogr.my hadir dengan antaramuka baru, yang membawakan pelbagai perkara menarik bersama-sama dengannya.

Rekabentuk Baru

Melalui Blogr.my 2.0, ia membawakan rekabentuk dan paparan antaramuka yang serba baru, serta mengikut trend semasa beberapa laman sosial yang lain. Walaupun ia serba sebanyak dioptimasikan untuk peranti mudah-alih, namun tidak secara keseluruhannya, dan menjadikan pengalaman penggunaan pada skrin kecil masih tidak menarik. Namun, mungkin kerana ianya masih awal, dan mungkin mereka akan hadir dengan versi peranti mudah-alih tidak lama lagi.

Salah satu perkara yang kami anggap menarik pada antaramuka baru ini adalah dimana rekabentuknya kemas, dan senang untuk digunakan. Iklan juga tidak begitu menganggu. Namun, untuk halaman profil, penyertaan iklan pada bahagian atas seperti kurang menarik berbanding halaman-halaman yang lain.

Kotak sembang pada penjuru bawah kanan juga kelihatan lebih kemas, dan tidak menganggu sekiranya pengguna sekadar ingin menggunakan laman sahaja tanpa menghiraukannya.

Saluran Untuk Setiap Kategori

Melalui rekabentuk baru, dan versi 2.0 ini juga turut membawakan pembahagian artikel mengikut kategori dengan lebih menarik lagi. Bagi yang biasa dengan laman Reddit, mungkin sedia maklum dengannya, dimana setiap kategori mempunyai URL khas, serta dijenamakan mengikut kategorinya tersendiri. Antara kategori yang diperkenalkan adalah Teknobit untuk berita teknologi, Sokan untuk berita sukan, Addin untuk artikel agama, dan pelbagai kategori yang lain, mengikut jenis dan tajuk artikel masing-masing.

Pendaftaran

Untuk pendaftaran, seperti biasa, ia masih menggunakan Facebook Connect untuk pendaftaran pantas. Bagi pengguna sedia ada, boleh menggunakan akaun mereka, disamping pengguna baru boleh mendaftarkannya dengan mudah melalui hanya beberapa klik sahaja.

Ping

Butang khas untuk Ping ataupun dengan erti kata lain, untuk menghantar artikel ke laman Blogr untuk dikongsikan bersama yang lain kini tampak jelas pada penjuru atas kanan. Sebaik sahaja klik padanya, anda boleh menghantar artikel daripada sebarang URL, ataupun memilih daripada blog anda (sekiranya ada).

Melayari Kandungan

Seperti biasa, setiap pengguna mendapat halaman profil masing-masing pada Blogr, membolehkan anda mengetahui artikel-artikel yang pernah dihantar oleh anda dengan mudah.

Perkara ini sekaligus membolehkan anda menggunakan Blogr sebagai alternatif untuk bookmark kandungan menarik, seumpama Delicious dan sebagainya.

Disamping itu, apabila melayari kandungan yang dikongsikan pada Blogr, sebuah bar khas, seumpama Stumble Upon akan disertakan. Bar ini dioptimasikan sepenuhnya, dan tidak bersaiz besar. Pada masa yang sama, pengguna juga boleh mendapat akses pantas ke butang sosial melalui bar tersebut, disamping membaca artikel-artikel yang lain dengan lebih pantas tanpa perlu kembali ke laman utama Blogr.

Namun, melalui sokongan artikel tersebut, para pengguna bukannya diperlihatkan mengikut kategori, sebaliknya artikel secara am, mungkin agak kurang sesuai sekiranya anda menyertai Blogr melalui halaman khas (saluran seumpama Teknobit dan lain-lain) yang diperkenalkan oleh mereka.

Lain-Lain

Blogr.my 2.0 juga turut didatangkan dengan sistem mata, membolehkan para pengguna mengumpulkan mata dan sebagainya. Namun, kami masih tidak pasti sepenuhnya berkenaan bagaimana ianya dikira, dan apakah yang boleh dilakukan oleh mata terkumpul tersebut. Semestinya pembangunnya mempunyai perancangan tersendiri yang masih belum diperlihatkan kepada umum.

Bagi anda yang berminat, boleh melayari laman Blogr.my hari ini, dan melihat sendiri rekabentuk baru yang dibawakan oleh mereka kepada komuniti penulis blog Malaysia secara amnya.


Komen ()