Cari @ Amanz

Terma steganografi semakin popular akhir-akhir ini, dimana bukan sahaja aplikasi untuknya dibangunkan oleh universiti tempatan, tetapi turut dipopularkan oleh beberapa siri televisyen bergenre akan IT. Secara ringkasnya, steganografi bermaksud menyembunyikan sebuah fail didalam fail yang lain, dan digunakan untuk menghantar sesuatu kepada rakan atau pihak yang lain, supaya kandungannya tidak ditafsirkan oleh pihak yang tidak diingini.

Walaupun ianya kelihatan agak sukar untuk dijayakan, namun, anda kini boleh membuatnya dengan mudah melalui beberapa aplikasi, dan salah satunya adalah DeEgger Embedder.

Melalui aplikasi ini yang dikhaskan untuk pengguna Windows, anda boleh menyembunyikan pelbagai bentuk fail, daripada teks kepada dokumen dan sebagainya pada fail berbentuk media, termasuk imej, video dan juga audio.

Untuk membuatnya, terlebih dahulu anda dikehendaki memuat-turun aplikasi DeEgger Embedder yang ditawarkan secara percuma dan bersaiz sekitar 500kb. Sebaik sahaja anda selesai memasangnya, sebuah tetingkap akan muncul, dengan pilihan untuk Combine, dan Extract.

Untuk mengabungkan dan menyertakan mesej tersembunyi pada sesuatu gambar, anda hanya perlu memilih Combine, dan pada bahagian Host File, masukkan fail berbentuk gambar, video atau audio. Dan pada bahagian Embed, masukkan fail yang ingin disembunyikan. Klik pada Combine apabila selesai, dan sebuah fail baru akan dihasilkan.

Sekiranya dilihat, fail yang dihasilkan akan menyerupai sepenuhnya seperti fail gambar, video atau audio yang asal, dimana anda boleh memainkannya seperti biasa. Ia sekaligus menjadikannya agak selamat sekiranya anda ingin menghantar kepada pihak lain dan sebagainya.

Dan untuk membuka fail tersembunyi tersebut, anda memerlukan perisian yang sama, iaitu DeEgger Embedder untuk membukanya. Sebaik sahaj memilih pilihan Extract, anda boleh terus melihat fail dokumen tersembunyi yang didatangkan bersama-sama dengannya.

Jadi, kini dengan mudah anda turut sama boleh menyembunyikan fail dalam gambar mahupun video dan menghantar kepada rakan-rakan anda. Sekiranya anda mempunyai sebarang aplikasi berbentuk steganografi menarik yang lain, jangan lupa berkongsi dengan kami.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd