Salah satu perkara yang hangat diperkatakan sejak beberapa minggu yang lepas adalah sokongan aplikasi peta baru pada iOS 6, yang mana dibangunkan sendiri oleh Apple, menggantikan Google Maps yang digunakan selama ini. Dan hari ini, Apple sendiri telah memperkenalkannya secara rasmi pada WWDC 2012.
Melalui Maps pada iOS 6, ia membawakan pelbagai perkara menarik pada aplikasi peta untuk pengguna iOS. Apple turut sama memberikan perhatian kepada aplikasi peta mereka, membawakan pelbagai sokongan popular, termasuk sokongan kemaskini trafik masa-nyata dan juga untuk digunakan dalam navigasi. Untuk kemaskini trafik masa-nyata, aplikasi Maps ini membawakan fungsi seumpama pada Waze, membolehkan anda mengetahui keadaan jalan raya, seperti pembinaan, kemalangan dan sebagainya, serta mengira berapakah masa yang diambil untuk tiba di sesuatu lokasi.
Selain daripada itu, ia turut menyertakan fungsi yang dinamakan sebagai Flyover, membolehkan anda melihat bandar-bandar dan peta anda dalam bentuk 3D yang amat menarik sekali.
Namun seperti biasa, ia masih tidak diketahui sama ada beberapa fungsi pada aplikasi peta baru ini akan diperkenalkan kepada pengguna seluruh dunia, atau hanya spesifik untuk beberapa lokasi sahaja pada pengenalan mereka kelak.
Jadi, apa kata anda berkenaan dengan sokongan aplikasi peta yang dibangunkan sendiri oleh Apple ini?