Akhirnya, laman PitchIN.my hari ini memperkenalkan rekabentuk antaramuka yang baru lebih kemas, serta pada masa yang sama memulakan proses mengumpulkan dana untuk pelbagai projek yang terdapat pada laman tersebut. Buat masa ini, sebanyak 6 projek disenaraikan, dimana kebanyakkan terdiri daripada penerbitan.
Bagi yang tidak kenali akan PitchIN, ia membawakan konsep yang menyerupai KickStarter, membolehkan seseorang mengumpulkan dana dengan mudah untuk sesuatu projek yang bakal dibangunkan oleh mereka. Daripada dana yang dikumpulkan, pihak PitchIN mengambil wang pemprosesan sebanyak 5%, dan sekiranya sesuatu pengumpulan dana itu gagal, semua wang yang dikumpulkan akan dikembalikan kepada pemilik asal mereka.
Namun, sama seperti versi asal, kemaskini rekabentuk ini juga mempunyai pelbagai kekurangan, dimana sepatutnya disiapkan sepenuhnya sebelum dilancarkan kepada umum.
Walaupun PitchIN telah mula aktifkan kebolehan untuk menyumbang wang untuk sesuatu projek, tetapi ia masih tidak mengaktifkan halaman profil untuk penyumbang tersebut. Perkara ini sekaligus menyukarkan untuk pengguna yang ingin menyumbang untuk mengetahui apakah projek-projek yang telah mereka sertai. Pada masa yang sama, apa yang peliknya adalah dimana kita boleh membuat sumbangan tanpa perlu log masuk, salah satu kekurangan pada sistem yang perlu diatasi oleh pembangunnya.
Tetapan pada halaman PayPal juga adalah tidak betul dengan apa yang dipaparkan pada sistem mereka. Sebagai contoh, projek memaparkan tempoh selama sehingga 60 hari untuk mengumpulkan dana, tetapi tetapan PayPal dibuat supaya tamat tempoh dalam masa 30 hari. Berbeza dengan Kickstarter yang mana hanya mengenakan caj selepas projek tersebut tamat dan berjaya, untuk PitchIN pula, memandangkan mereka menggunakan PayPal, walaupun tertulis Pending pada halaman PayPal, namun, SMS pembayaran diterima terus daripada pihak bank serta-merta lepas menyokong sesuatu projek tersebut.
Disamping itu, projek yang dipaparkan juga tidak menyertakan sasaran dana yang diperlukan oleh mereka. Malah siapakah disebalik halaman PitchIN sendiri adalah kurang diterangkan pada halaman tersebut.
Terdapat beberapa perkara lain yang turut sama perlu diberi perhatian oleh pembangun supaya para pengguna tidak begitu was-was dalam menyokong projek yang tersenarai, dan sebagainya.
Walaubagaimanapun, selain daripada itu, ianya merupakan salah satu projek yang baik untuk melihat perkembangan PitchIN, dan sama-sama kita nantikan projek pertama yang akan disokong oleh dana awam melaluinya kelak.